suria

Lelaki Didakwa Sebabkan Kematian Dua Pelajar Kolej Kejururawatan

KOTA BAHARU: Seorang lelaki hari ini didakwa di Mahkamah Majistret di sini atas tuduhan cuai sehingga menyebabkan kematian dua pelajar kolej kejururawatan yang dihempap kereta di pasar raya KB Mall di sini, Disember lepas.

Mohd Sabri Jusoh, 28, seorang penjaga sarang burung, didakwa telah menyebabkan kematian Nor Amira Samsuddin, 19 dan Siti Nordiana Azman, 18, dengan cuai pada pukul 5.10 petang di pasar raya berkenaan pada 6 Disember tahun lalu.

Bagaimanapun, tiada pengakuan drekodkan daripada tertuduh.

Majistret Noor Haslinda Che Man membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM5,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 13 Jun ini untuk sebutan semula kes bagi membolehkan tertuduh melantik peguam.

Mohd Sabri, dari Kampung Gertak Seratus, Kuala Besat, Terengganu didakwa mengikut Seksyen 304 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara maksimum dua tahun, denda atau kedua-dua sekali.

Pendakwaan dijalankan oleh Timbalan Pendakwa Raya Mohd Hafiz Abd Rahman.

Ketika ditanya oleh pemberita mengenai perbuatan tertuduh, Mohd Hafiz berkata tertuduh didakwa menolak kereta yang rosak itu di tempat parkir tingkat atas kompleks itu sebelum kenderaan itu menjunam ke dalam pasar raya itu.

Dalam kejadian itu, dua pelajar Kolej Masterskill cawangan Kota Baharu terbunuh selepas sebuah kereta jenis Ford Laser yang dipandu Nor Ain Said, 18, menghempap kedua-dua mangsa dan Rashidah Ahmad Lutfi, 24, yang ketika itu berada di eksalator (tangga bergerak) pasar raya itu.

Siti Nor Amira, dari Felda Chiku Tujuh, Gua Musang, mati di tempat kejadian manakala Siti Nordiana, dari Chabang Empat, Tumpat, mati dalam perjalanan ke hospital manakala Rashidah cedera parah.

Kejadian berlaku apabila kereta itu rosak di tempat parkir di tingkat atas yang kemudiannya Mohd Sabri telah menolak kereta itu sebelum ia terjunam ke bahagian dalam pasa raya selepas merempuh tembok penghadang. - BERNAMA

Artikel Lain