suria

Laporan Panel Pakar Perubatan Sultan Kelantan Siap Dalam Masa Terdekat

KOTA BARU: Panel dengan 11 pakar perubatan yang dilantik Kerajaan Negeri Kelantan dan Kerajaan Malaysia selesai menjalankan pemeriksaan kesihatan terhadap Sultan Kelantan, Tuanku Ismail Petra yang sebelum ini dimasukkan ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian di sini.

Pengelola Istana Kelantan, Datuk Abdul Halim Hamad berkata, pemeriksaan bagi menilai tahap kesihatan Tuanku Ismail siap sepenuhnya dan kini barisan panel berkenaan sedang menyiapkan laporan penuhnya.

"Pemeriksaan dah selesai," katanya melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) di sini hari ini.

Tuanku Ismail dimasukkan ke Wad Diraja HUSM pada Selasa lalu bagi membolehkan pakar-pakar yang dilantik tersebut menjalankan pemeriksaan mengenai status kesihatan baginda.

Penglibatan pakar-pakar berkenaan yang mendapat perkenan Pemangku Raja, Tengku Muhammad Faris Petra buat pertama kali berpeluang melakukan pemeriksaan terhadap kesihatan Sultan Kelantan sejak dibawa pulang ke negeri ini pada 4 Mac lalu.

Bagaimanapun semalam, Pemangku Raja memberi perkenan supaya ayahanda baginda dibenarkan pulang ke Istana Mahkota.

Dalam pada itu Abdul Halim berkata, beliau berharap pihak-pihak tertentu supaya tidak mempertikaikan kewibawaan barisan panel pakar berkenaan.

"Pakar-pakar itu banyak pengalaman, ada antara mereka yang bertaraf profesor. Pihak istana harap rakyat dapat menunggu perkembangannya," katanya.

Artikel Lain