suria

Kem PLKN Summer Set Resort Ditutup Sementara

MELAKA: Kem Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) Summer Set Resort di Rompin, Pahang, ditutup sementara mulai hari ini kerana gagal mematuhi syarat penyelenggaraan yang ditetapkan.

Ketua Pengarah Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN) Datuk Abdul Hadi Awang Kechil berkata seramai 265 pelatih di kem itu telah dipindahkan ke beberapa kem PLKN berdekatan untuk mereka meneruskan latihan.

"Ibu bapa telah dimaklumkan mengenai perpindahan anak-anak mereka dan pergerakan telah dimulakan pagi tadi, setakat ini ia berjalan dengan lancar, tiada apa-apa masalah," katanya kepada pemberita selepas meninjau latihan menembak 408 pelatih Kem PLKN Hutan Rekreasi Ayer Keroh, di Lapang Sasar Kem Terendak, Sungai Udang dekat sini, hari ini.

Abdul Hadi berkata JLKN memberi tempoh tiga bulan kepada pihak kem itu untuk membuat penambahbaikan termasuk daripada aspek kebersihan dan keselamatan kem sebelum ia dibenar beroperasi semula.

Beliau berkata penutupan sementara kem itu adalah yang kedua dilakukan oleh JLKN selepas Kem PLKN Titian Bintangor, Rembau di Negeri Sembilan pada 7 April lepas atas masalah sama.

"JLKN ingin memastikan pelatih berada dalam keadaan selesa, boleh mengikuti latihan dengan sempurna dan keselamatan pelatih diutamakan. Setiap kem mempunyai jadual pematuhan, jika mereka tidak menyelenggara kem sebaik mungkin tahap kerosakan akan lebih cepat dan membahayakan pelatih," katanya.

Beliau berkata JLKN sentiasa membuat pemantauan terhadap 79 kem PLKN di seluruh negara dan tidak akan bertolak ansur kepada mereka yang gagal mematuhi syarat penyelenggaraan yang ditetapkan.

Mengenai dakwaan Kem PLKN Sembrong di Batu Pahat, Johor yang dikatakan tidak mempunyai prasarana yang mencukupi, Abdul Hadi berkata lawatan mengejut beliau ke kem itu Jumaat lepas mendapati kemudahan yang disediakan kepada pelatih adalah mencukupi dan tahap kebersihannya memuaskan.

Sementara itu, beliau berkata mulai hari ini, kesemua 31,036 pelatih PLK Nkumpulan 2 siri 7/2010 di seluruh negara menjalani latihan menembak yang melibatkan 29 lapang sasar dengan kerjasama 4,740 anggota tentera.

Abdul Hadi berkata latihan itu yang akan berakhir 30 Mei ini antaranya dapat membentuk disiplin pelatih dan meningkatkan tahap keberanian serta keyakinan diri. - BERNAMA

Artikel Lain