suria

Dua Maut Dalam Kemalangan Babit Lima Kenderaan

KUALA LUMPUR: Dua lelaki maut dalam kemalangan yang membabitkan lima kenderaan termasuk sebuah motosikal di Jalan Genting Klang menghala ke Gombak di sini malam ini.

Yang maut ialah penunggang motosikal yang dikenali sebagai Law Chee Sing, 46, yang cedera parah di bahagian muka akibat digilis van, serta pejalan kaki yang dikenali sebagai Kok Sook Loong, 60, yang cedera parah di badan.

"Kedua-dua mangsa mati di tempat kejadian dan mayat mereka dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk bedah siasat," kata Pegawai Turus Siasatan dan Perundangan Trafik Kuala Lumpur, Deputi Supritendan (DSP) Abdullah Roning.

Menurutnya, kejadian berlaku kira-kira 7.20 malam itu berlaku apabila sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux yang dipercayai dipandu laju gagal dikawal lalu merempuh sebuah Proton Myvi yang berada dihadapannya.

"Ekoran perlanggaran itu, seorang penunggang motosikal yang turut berada di hadapan Toyota Hilux terbabit turut dilanggar.

"Ini menyebabkan penunggang motosikal terbabit terpelanting sebelum terjatuh dan terperosok di bawah sebuah van yang berada hampir dengan motosikal itu," katanya ketika dihubungi Bernama. Beliau berkata pejalan kaki tersebut turut dirempuh oleh Toyota Hilux selepas kenderaan terbabit terbabas ke kiri jalan dan merempuhnya.

Katanya kesemua kenderaan itu termasuk sebuah lagi kereta jenis Mitsubishi Lancer yang berada di tempat kejadian mengalami kerosakan teruk akibat insiden berkenaan.

Pemandu Toyota itu mengalami cedera ringan.

"Akibat kemalangan itu, berlaku kesesakan trafik selama dua jam sebelum kerja-kerja mengalihkan kenderaan yang terlibat dalam kemalangan dilakukan," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain