suria

Dasar Baru Komprehensif Untuk Guru Diumum Ahad Ini

SIBU: Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata satu dasar baru yang lebih komprehensif untuk guru dijangka diumumkan di Kuantan pada Ahad ini sempena sambutan Hari Guru peringkat kebangsaan.

Muhyiddin, yang juga Menteri Pelajaran, berkata dasar itu dijangka mengandungi skim lebih baik untuk pengetua dan guru besar daripada segi kenaikan pangkat, elaun dan manfaat lain.

"Kementerian sedang menimbang untuk menambah baik dasar bagi guru yang mengajar di pedalaman yang kini menerima elaun kesusahan RM1,500 sebulan disebabkan kos pengangkutan yang tinggi," katanya pada majlis dialog dengan guru dan anggota Persatuan Ibu Bapa dan Guru di Sekolah Menengah Sacred Heart di sini hari ini.

Muhyiddin berkata satu kajian perlu dilakukan berhubung keperluan guru di pinggir bandar kerana ia juga harus mengambil kira pembangunan infrastruktur 10,000 sekolah di seluruh negara termasuk 1,500 di Sarawak.

Mengenai pengambilan ke maktab perguruan, beliau berkata kerajaan mungkin menimbang mengambil penduduk tempatan di kawasan-kawasan yang amat memerlukan tenaga guru di Sarawak dan Sabah bagi mengurangkan masalah penempatan guru dan kos pengangkutan.

Sambil mengingatkan semua guru supaya berkhidmat dengan penuh dedikasi, Muhyiddin berkata kementerian tidak mengamalkan diskriminasi dalam penempatan guru berkelayakan dan berkemahiran di Sarawak, Sabah atau di Semenanjung Malaysia. - BERNAMA

Artikel Lain