suria

Bunyi Letupan Selamatkan Keluarga Daripada Mati Terbakar

TANAH MERAH: Bunyi letupan kecil di bahagian atas rumah menyelamatkan sebuah keluarga di Jalan Wan Ahmad dekat sini daripada hangus dalam kebakaran kira-kira pukul 2.30 petang tadi.

Pemilik rumah itu, Pu Wing, 33, berkata kebakaran itu dipercayai berlaku ketika beliau dan dua anaknya sedang sibuk menikmati makan tengahari sebaik salah seorang anaknya pulang dari sekolah.

"Ketika kejadian saya berada di dapur sedang menyenduk nasi bersama dua anak saya dan seorang pembantu rumah untuk makan tengahari.

"Secara tiba-tiba saya terdengar bunyi letupan kecil yang jelas kedengaran sebelum saya terkejut dan melihat api dengan cepat menjulang tinggi dan merebak dari bahagian atas rumah saya sehingga ke bahagian bawah," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata, terkejut melihat api yang marak itu beliau segera menjerit memanggil kedua anaknya dan pembantu rumah supaya berlari keluar menyelamatkan diri.

"Mujurlah saya terdengar bunyi letupan itu dan berjaya keluar dengan cepat untuk menyelamatkan diri kalau tidak tak tahulah apa akan terjadi kerana sekelip mata api marak dan memusnahkan kesemua bahagian rumah saya," katanya.

Wanita itu berkata ketika kejadian suaminya Kang Hok Kee, 44, tiada di rumah kerana mempunyai urusan di Kuala Lumpur.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Tanah Merah, Mohamad Saamah berkata pihaknya menerima panggilan mengenai kebakaran itu kira-kira jam 2.49 petang.

"Dengan kekuatan lima anggota, kebakaran berjaya dikawal dalam masa 20 minit bagaimanapun kesemua barangan dalam rumah tersebut gagal diselamatkan kerana api yang marak dengan cepat," katanya.

Beliau berkata, sehingga kini pihaknya masih menyiasat mengenai punca kebakaran dan kerugian yang dialami keluarga berkenaan. - BERNAMA

Artikel Lain