suria

Pengusaha Pelancongan Malaysia Diminta Tidak Bertindak Balas

ALOR SETAR: Ejen dan pengusaha pelancongan Malaysia diminta tidak mengambil sebarang tindakan yang boleh mencetuskan ketegangan berikutan tindakan pengusaha pelancongan di Thailand menahan bas dan van Malaysia yang membawa pelancong memasuki negara itu.

Pengarah Jabatan Imigresen Kedah, Mohd Zulfikar Ahmad ketika mengeluarkan nasihat itu berkata masalah itu hanya boleh diselesaikan oleh pihak berkuasa Thailand kerana ia berlaku dalam kawasan mereka.

Sekumpulan pengusaha pelancongan Thailand dilaporkan mendirikan khemah di tepi jalan kira-kira 1 kilometer selepas Kompleks Imigresen Danok yang bersempadan dengan Malaysia sejak Jumaat lepas dan menahan bas dan van Malaysia dari meneruskan perjalanan.

Semalam kira-kira 30 bas dan van yang membawa lebih 1,000 pelancong dari Malaysia terkandas di Danok apabila tidak dibenarkan meneruskan perjalanan ke destinasi masing-masing.

Mereka bagaimanapun tidak mengambil sebarang tindakan cuma diarahkan berpatah balik dan pelancong dibenarkan menyambung perjalanan dengan menaiki van milik mereka dengan kadar sewa yang tinggi.

"Saya difahamkan tindakan mereka bagi membalas tindakan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kedah menyaman van dari Thailand yang membawa pelancong semasa memasuki negara ini sejak dua bulan lepas," katanya semasa dihubungi, hari ini.

Mohd Zulfikar berkata kenderaan persendirian rakyat Malaysia yang memiliki dokumen lengkap boleh memasuki Thailand tanpa sebarang masalah.

Tinjauan Bernama hari ini mendapati keadaan di Kompleks Kastam dan Imigresen (CIQ) Bukit Kayu Hitam normal dan tidak berlaku kesesakan.

Pengusaha pelancongan Malaysia kelihatan tidak lagi membawa pelancong terus memasuki pekan Danok dengan bas.

Mereka berhenti di kawasan Kompleks Bebas Cukai Bukit Kayu Hitam dan berjalan kaki kira-kira setengah kilometer memasuki Danok dan menyambung perjalanan dengan menyewa van pelancongan Thailand ke destinasi masing-masing.

Pengarah JPJ Kedah, Abd Rahman Hussain yang dihubungi berkata pihaknya menyaman van pelancong Thailand kerana penyalahgunakan Permit Pengedaran Antarabangsa (ICP) dalam 'Ops Check Mate' sejak dua bulan lepas.

"ICP hanya diberikan kepada pemilik kenderaan persendirian luar yang memasuki negara ini tetapi terdapat pengusaha van pelancongan Thailand menyalahgunakannya dengan membawa pelancong," katanya.

Pengarah Pejabat Kementerian Pelancongan Malaysia Kedah, Anuar Abdul Razak berkata pihaknya akan mengadakan pertemuan dengan agensi penguatkuasa di sempadan dalam masa terdekat untuk berbincang bagi mengatasi masalah itu. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain