suria

Pengawal Keselamatan Dibunuh Selepas Dapat Gaji Pertama

SHAH ALAM: Seorang pengawal keselamatan yang baru mendapat gaji pertama ditemui mati dengan kepala dan mukanya pecah di rumah sewanya di Jalan Pegaga U12/5, Seksyen U12 di sini hari ini.

Mayat Mohd Zambrizal Mohd, 29, ditemui berlumuran darah terbaring di ruang tamu rumah itu oleh penyelianya yang datang untuk mencari rakan serumah mangsa pada kira-kira pukul 10 pagi.

Ketua Polis Daerah Shah Alam ACP Nor Azam Jamaluddin berkata berdasarkan siasatan awal, polis percaya mangsa dibunuh oleh orang yang kenalinya.

"Ketika ditemui mangsa hanya berseluar panjang dan bahagian kepala serta mukanya pecah berlumuran darah dipercayai akibat dipukul dengan objek keras.

"Kami juga menemui sebatang besi panjang yang dipercayai digunakan untuk memukul mangsa di seberang jalan rumah itu," katanya ketika ditemui di tempat kejadian hari ini.

Mohd Zambrizal yang berasal dari Sandakan, Sabah, tinggal bersama empat lagi rakan sekerjanya di rumah yang disediakan majikan mereka. Semalam dia bekerja syif malam dan tamat syif bekerja pada pukul 8 pagi ini.

Nor Azam berkata ketika kejadian, tiga rakan serumah mangsa berada di tempat kerja mereka di sebuah kilang di Bukit Raja, Klang, manakala seorang lagi yang dicari penyelianya pagi ini kerana tidak masuk bertugas, masih gagal dikesan sehingga kini.

Mayat Mohd Zambrizal dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang untuk bedah siasat dan polis kini melancarkan gerakan mengesan seorang rakan serumahnya bagi membantu siasatan.

Polis turut meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu supaya menghubungi balai polis berhampiran bagi membantu siasatan. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain