suria

Kes Aminulrasyid: Polis Hantar Semula Kertas Siasatan Ke Pejabat Peguam Negara

SHAH ALAM: Polis telah menghantar semula kertas siasatan berhubung kes kematian Aminulrasyid Amzah, 15, akibat terkena tembakan polis dalam kejadian 26 April, ke pejabat Peguam Negara pada Jumaat lepas.

Ketua Polis Selangor Datuk Khalid Abu Bakar berkata kertas siasatan itu dihantar semula selepas Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail meminta supaya polis melakukan siasatan lanjut selepas ia dihantar buat pertama kali pada 30 April lepas.

"Kita dah hantar semula Jumaat lepas dan sekarang kita sedang tunggu arahan lanjut daripada pejabat Peguam Negara," katanya di sini hari ini.

Dalam kejadian pada 2 pagi itu, Aminulrasyid mati terkena tembakan yang dilepaskan polis yang mengejar kereta yang dipandu remaja itu sepanjang enam kilometer pada kadar kelajuan tinggi sebelum terbabas di Jalan 11/2G di sini kira-kira 100 meter dari rumahnya.

Rakan remaja itu yang sempat melarikan diri menjadi saksi utama kejadian.

Sementara itu, Khalid yang diminta mengulas penemuan semula kereta rasminya di Prima Damansara, Petaling Jaya selepas dilaporkan dicuri di Seksyen 9 di sini Khamis lepas, berkata siasatan lanjut tetap dijalankan walaupun terdapat sekeping nota meminta maaf ditemui pada kereta itu.

"Siasatan tetap dijalankan bagi mengesan pencuri terlibat, walaupun ada sekeping nota bertulis tangan meminta maaf.

"Saya juga ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada media kerana laporan dan liputan yang meluas mendorong pencuri itu memulangkan semula kereta berkenaan," katanya.

Kereta rasmi Ketua Polis Selangor itu dilaporkan hilang di Jalan Tengku Ampuan Zabedah 9/H, Seksyen 9, di sini pagi Khamis lepas ketika pemandunya yang berpangkat koperal sedang menikmati sarapan di restoran berhampiran.

Kereta jenis Proton Perdana V6 bernombor pendaftaran WSY 6751 itu ditemui semula semalam, di Prima Damansara, Petaling Jaya dalam keadaan baik beserta sekeping nota meminta maaf berbunyi, "Sorry PDRM, tersilap sapu". - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain