suria

PRK Sibu: Saingan Tiga Penjuru

PETALING JAYA: Pilihan raya kecil Parlimen Sibu dijangka bakal menyaksikan saingan tiga penjuru apabila hanya seorang calon Bebas telah membeli borang pencalonan daripada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Timbalan Pengerusi SPR, Datuk Wan Ahmad Wan Omar berkata setakat ini hanya lima set borang pencalonan telah dijual kepada parti yang bertanding dalam pilihan raya kecil itu.

"Setakat ini hanya lima set borang pencalonan yang telah kita jual. Tiga set dibeli oleh DAP dan selebihnnya oleh calon BN dan seorang individu Bebas," katanya kepada mStar Online semalam.

Mengenai suasana hari penamaan calon yang akan berlangsung esok, Wan Ahmad berkata sehingga petang ini tiada satu poster yang dipasang oleh parti yang bertanding pada pilihan raya kecil kali ini.

"Ini satu amalan budaya politik yang sangat baik. Kedua-dua parti yang bertanding mengikut arahan dan tidak memasang poster serta mengibarkan bendera menjelang hari penamaan calon.

"Saya lihat Majlis Perbandaran Sibu menjalankan tugas mereka dengan baik dan parti-parti yang bertanding patuh kepada arahan yang dikeluarkan," katanya.

Beliau berkata suasana itu berbeza sama sekali dengan pilihan raya kecil Hulu Selangor baru-baru ini.

"Kita harap suasana hari penamaan calon esok akan berlangsung dengan baik dan tenteram.

"Penyokong parti-perti yang bertanding boleh berkumpul di tempat yang ditetapkan dan mereka tidak perlu berada dekat dengan pusat penamaan calon.

Menurutnya, seramai 1,000 pegawai SPR akan terlibat dalam pilihan raya kecil Parlimen Sibu dan jumlah tersebut agak kecil berbanding petugas yang ditempatkan pada pilihan raya kecil Hulu Selangor baru-baru ini.

Pertandingan kerusi itu merupakan pilihan raya kecil yang ke-11 sejak Pilihan Raya Umum 2008.

Ia menyaksikan BN diwakili Robert Lau Hui Yew, seorang peguam sementara DAP meletakkan Pengerusi DAP negeri, Wong Ho Leng yang juga ADUN Bukit Assek sebagai calon mereka. Kerusi Parlimen Sibu kosong berikutan kematian penyandangnya, Datuk Robert Lau Hoi Chew yang juga Timbalan Menteri Pengangkutan akibat kanser pada 9 April lalu.

Palimen Sibu mempunyai kira-kira 54,695 pengundi berdaftar termasuk 2,537 pengundi pos.

Mereka termasuk 5,740 Melayu (10.5 peratus), 36,389 Cina (66.7 peratus), 12,050 Iban (22.1 peratus), 54 India (0.01 peratus) dan kaum lain 289 (0.53 peratus).

Sebanyak 45 pusat mengundi melibatkan 39 buah sekolah, dua buah tadika, sebuah pusat latihan, sebuah rumah panjang, sebuah perpustakaan awam dan sebuah pusat rekreasi awam dengan 110 saluran mengundi akan digunakan pada pilihan raya itu.

Terdapat tiga kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang terletak dalam Parlimen Sibu iaitu Bawang Assan, Pelawan dan Nangka.

Ketiga kawasan DUN berkenaan dikuasai oleh Barisan Nasional.

SPR telah menetapkan pilihan raya kecil Parlimen Sibu, Sarawak telah ditetapkan pada 16 Mei ini manakala tarikh penamaan calon akan diadakan esok.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain