suria

Konflik Istana Kelantan Perlu Diselesaikan Segera

PETALING JAYA: Konflik dalaman membabitkan istana Kelantan perlu diselesaikan segera di kalangan keluarga diraja.

Pensyarah Politik dan Pentadbiran Awam Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Dr Ahmad Atory Hussain berkata, kemelut itu perlu ditmatkan tanpa campur tangan ahli politik.

“Jika ia berlaku, nanti berpuak-puak antara satu sama lain dan keadaan itu hanya menunjukkan kelemahan Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mengetuai kerajaan negeri.

“Pihak ‘tertentu’ tidak perlu mengambil kesempatan dalam hal ini dan mereka seharusnya akur bahawa ia adalah krisis Istana Kelantan,” katanya kepada mStar Online di sini hari ini.

Beliau mengulas mengenai kemelut berpanjangan yang melanda Istana Kelantan sejak Sultan Kelantan, Sultan Ismail Petra gering.

Ahmad Atory turut menjelaskan sebaik-baiknya penyelesaian itu mengikut adat Melayu dan pastinya tidak perlu mengambil sebarang tindakan undang-undang.

“Mungkin belum ditentukan siapa memegang kuasa mutlak sebenar, namun peranan Pemangku Raja sudah diketahui menggantikan Sultan.

“Semua pihak perlu menghormati adat tanpa terus membuat pertikaian. Jika tidak di mana letaknya nilai ‘kesetiaan kepada raja dan negara’ dalam Rukun Negara,” katanya.

Bagi pemerhati politik, Prof Madya Dr. Mohammad Agus Yusoff menyifatkan konflik dalaman itu adalah urusan keluarga Diraja Kelantan.

Beliau berkata, soal siapakah yang berkuasa boleh ditentukan dengan peruntukkan undang-undang.

“Jika berdasarkan perhubungan, keluarga diraja sepatutnya menyelesaikan perkara itu secara berdamai. Mereka perlu menunjukkan contoh kerana Sultan menjadi pelindung rakyat.

“Buang yang keruh, ambil yang jernih. Itulah yang sepatutnya dilakukan sekiranya tidak mahu rakyat berterusan dengan pelbagai spekulasi dan persepsi kurang baik,” katanya.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain