suria

Kempen Penurunan Harga Barang Untungkan Semua Pihak - Ismai Sabri

SIBU: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) menyarankan pihak pasar raya, pasar raya besar, pasar mini dan kedai runcit agar bekerjasama mengadakan Kempen Penurunan Harga yang mewujudkan situasi 'menang-menang' antara pengguna dan peniaga.

Menteri berkenaan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata kempen yang dilancarkan pada Oktober 2008 itu mendapat sambutan baik dari semua pihak dan sehingga kini, sebanyak 82 kempen seumpama itu dianjurkan di seluruh negara.

"Kempen Penurunan Harga ini akan mewujudkan situasi menang-menang kepada semua pihak yang iaitu harga yang ditawar menguntungkan pengguna dan pada masa yang sama ia meningkatkan jualan peniaga.

"Pada masa yang sama, kempen ini memanfaatkan pengguna kerana berpeluang berbelanja dan membeli barangan keperluan harian pada harga yang lebih rendah," katanya ketika merasmikan Kempen Penurunan Harga dan penutupan program Rakan Pengguna di Sing Kwong Supermarket di sini hari ini.

Ismal berkata Kempen Penurunan Harga ini tidak hanya tertumpu di kawasan bandar tetapi turut dilancarkan di kawasan pinggir dan luar bandar termasuk tanah rancangan Felda.

"Kerajaan pimpinan Barisan Nasional (BN) sangat prihatin terhadap keperluan rakyat. Kita sedar krisis ekonomi global memberi impak kepada pengguna terutama dari segi peningkatan harga barangan.

"Pelancaran kempen ini telah memanfaatkan pengguna dan mendidik mereka agar berbelanja lebih berhemat dan membantu meringankan beban kewangan mereka," katanya.

Mengenai Rakan Pengguna, Ismail Sabri berkata kementerian akan mempergiatkan usaha merangka aktiviti dan program bagi kesemua 36,120 ahli di seluruh negara agar terus bergiat aktif dan dibekalkan dengan ilmu kepenggunaan yang terkini.

"Sukarelawan yang bertindak sebagai mata dan telinga kementerian telah memberi sumbangan kepada pengguna di negara ini, seperti membuat aduan terhadap tindakan peniaga yang tidak beretika, cetak rompak dan sebagainya," katanya.

Sementara itu, Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM) KPDNKK menerima 190 aduan pengguna dari Sarawak, melibatkan pelbagai kes dan aduan, termasuk 36 kes penipuan perkhidmatan. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain