suria

Tiada Dadah Atau Alkohol Dikesan Pada Kugan - Saksi

PETALING JAYA: Mahkamah Sesyen hari ini diberitahu bahawa hasil analisis spesimen muntah yang diambil dari mayat tahanan A.Kugan menunjukkan bahawa tidak ada sebarang kandungan mana-mana jenis dadah mahupun alkohol dikesan pada spesimen itu.

Menurut saksi ASP Marzuki Mohd Mokhtar, 32, ia berdasarkan laporan yang diserahkan oleh Jabatan Kimia Petaling Jaya kepadanya selepas siasatan dijalankan bermula 23 Januari tahun lepas.

Katanya siasatan disambung semula selepas pegawai penyiasat asal dalam kes ini iaitu ASP Mohd Zainal Mohd Abdullah menyerahkan sepenuhnya kertas siasatan kepada beliau.

"Pada 24 Januari 1.40 petang, saya pergi ke Jabatan Kimia untuk dapatkan laporan daripada Dr Mohd Syukri Hassan,"katanya semasa menjawab satu soalan Timbalan Pendakwa Raya Abaszafree Mohd Abbas.

"Pada 3 Februari, satu lagi laporan diperolehi, hasil ujian yang dilakukan oleh ahli kimia Adriani Rizal, iaitu ujian tosikologi dan keputusan yang didapati adalah sama, iaitu tiada dadah atau alkohol dikesan," katanya.

Marzuki berkata bedah siasat kali kedua dijalankan di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) selepas dimaklumkan oleh pihak hospital, bermula pada pukul 12.40 tengahari sehingga 9.40 malam, dengan bedah siasat diketuai Dr Prasad M Samankha.

Saksi ke-22 pendakwaan itu memberi keterangan pada perbicaraan kes Navindran, 28, yang mengaku tidak bersalah 1 Oktober lepas terhadap dua pertuduhan menyebabkan kecederaan parah kepada Kugan, 23, suspek kes curi kereta mewah.

Navindran dituduh melakukan perbuatan itu di bilik soal siasat pejabat D9, di Balai Polis Taipan, USJ, Subang Jaya, 7 pagi, 16 Januari tahun lepas, dan didakwa mengikut Seksyen 331 Kanun Keseksaan yang boleh membawa hukuman penjara sehingga 10 tahun dan denda jika sabit kesalahan.

Bagi dua pertuduhan pilihan menyebabkan cedera kepada Kugan, Navindran turut mengaku tidak bersalah.

Marzuki yang bertugas sebagai pegawai penyiasat kanan dari Ibu Pejabat Daerah Subang Jaya berkata terdapat sembilan balai di bawah seliaannya termasuk Balai Polis Petaling Jaya.

Perbicaraan di hadapan Hakim Aslam Zainuddin bersambung 8 Jun. -BERNAMA

Artikel Lain