suria

Sultan Kelantan Kekal Dirawat di HUSM

KOTA BARU: Sultan Kelantan, Tuanku Ismail Petra kekal dirawat di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian untuk menerima rawatan susulan masalah jantung.

Pengelola Istana DiRaja Kelantan, Datuk Abdul Halim Hamad berkata, setakat ini belum ada rancangan memindahkan Tuanku Ismail ke hospital lain termasuk ke Hospital Kuala Lumpur (HKL).

"Tuanku Sultan masih ditempatkan di Wad Diraja di HUSM dan masih belum ada rancangan dipindahkan ke hospital lain," katanya ketika dihubungi di sini.

Beliau berkata sehingga petang semalam tiada sebarang titah dikeluarkan oleh Pemangku Raja Kelantan, Tengku Muhammad Faris Petra.

Sultan Kelantan dimasukkan ke HUSM Selasa lepas untuk menjalani rawatan susulan masalah jantung.

Pada hari yang sama, anakanda ketiga Sultan Kelantan, Tengku Temenggong Tengku Muhammad Fakhry Petra pada sidang akhbar di sini berkata beliau bercadang membawa ayahandanya menjalani rawatan susulan di Hospital Mount Elizabeth, Singapura.

Bagaimanapun penerbangan itu tidak dibenarkan mendarat di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra.

Sultan Kelantan pada 14 Mei 2009 dimasukkan ke HUSM di Kubang Kerian kerana gering, dan pada 24 Mei 2009 dimasukkan ke Hospital Mount Elizabeth, Singapura bagi menerima rawatan lanjutan masalah jantungnya dan hanya kembali ke Kelantan pada 3 Mac lepas setelah hampir setahun berada di hospital itu.

Kelmarin, Pemangku Raja Kelantan mengeluarkan titah kepada Ketua Polis Kelantan supaya segala pergerakan Sultan Kelantan perlu mendapat perkenan baginda dan menitahkan Ketua Polis Kelantan Datuk Abdul Rahim Hanafi supaya meningkatkan tahap keselamatan Sultan Kelantan.

Abdul Halim berkata beliau belum menerima laporan mengenai status kesihatan Sultan Kelantan daripada doktor yang merawat baginda.

Sementara itu, Pemangku Raja Kelantan Tengku Muhammad Faris Petra hari ini meneruskan tugas rasmi baginda apabila berangkat menghadiri Istiadat Penganugerahan Kehormat Kebesaran Negeri Tahun 2010 Kali Kedua di Istana Balai Besar di sini dan berkenan menyampaikan pengurniaan Ahli-Ahli Darjah kepada 344 penerima.

Antara penerimanya ialah tiga Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Kelantan iaitu Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Desa dan Bioteknologi Negeri, Che Abdullah Mat Nawi, Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Pembangunan Maklumat Sains dan Teknologi Negeri, Dr Mohamed Fadzli Hassan dan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Kesihatan Negeri, Wan Ubaidah Omar.

Mereka juga menerima Ahli Yang Ketiga (Taulan) Bagi Darjah Kebesaran Jiwa Mahkota Yang Amat Mulia (J.M.K).

Sementara itu, Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menyatakan hasratnya untuk menziarahi Sultan Kelantan di HUSM.

"Kalau ada peluang, memang kita nak pergi ziarah (Sultan Kelantan)," katanya kepada pemberita selepas istiadat pengurniaan darjah kebesaran itu. - BERNAMA

Artikel Lain