suria

Puteri Umno Sasar Tambah 30 peratus Keahlian Tahun Ini

DUNGUN: Pergerakan Puteri Umno mensasarkan untuk menambah kira-kira 30 peratus lagi keanggotaan pergerakan itu menjelang akhir tahun ini bagi menambah 350,000 keanggotaan sedia ada.

Ketuanya Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin berkata dengan penubuhan Skuad Cari Seramai Ahli (CSI) yang telah dilancarkan pada peringkat nasional oleh Naib Presiden Umno Datuk Seri Shafie Apdal pada April lepas, ia diharap menjadi satu medium terbaik untuk mencapai tujuan itu.

"Pada masa ini, kita dimaklumkan beberapa buah negeri telahpun menubuhkan skuad ini melalui Biro Keahlian di Perhubungan Umno masing-masing dan saya berharap dengan adanya skuad ini semua ahli lebih agresif dalam mencari ahli baru.

"Ini kerana kekuatan parti bergantung kepada jumlah ahlinya dan pelbagai pendekatan akan kita lakukan termasuk bergerak dari rumah ke rumah bagi mencari ahli-ahli daripada golongan muda," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Himpunan Seribu Mawar dan Pelancaran Skuad CSI di Dewan Majlis Daerah Dungun di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Umno Bahagian Dungun Datuk Rosli Mat Hasan.

Katanya pergerakan itu perlu memastikan keanggotaan sentiasa bertambah dari semasa ke semasa kerana anggota yang sedia ada akan secara automatik menjadi anggota Wanita Umno apabila umur mereka menjelang 35 tahun.

Rosnah berkata setakat ini Terengganu merupakan negeri ketiga yang mempunyai keanggotaan Puteri yang teramai walaupun hanya mempunyai lapan bahagian dan Dungun menjadi daerah pertama di negeri ini yang menubuhkan skuad CSI.

Selain itu, beliau berkata pergerakan itu turut mensasarkan sekurang-kurangnya 50 peratus daripada 119,000 anggota pergerakan itu yang belum menjadi pemilih didaftarkan sebagai pengundi sebelum akhir tahun ini menerusi program Kembara Daftar Pemilih.

Beliau berkata perkara itu penting dalam usaha memberi kelebihan undi kepada Umno dan Barisan Nasional dalam setiap pilihan raya termasuk Pilihan Raya Umum ke-13 nanti.

Untuk tujuan itu juga, katanya Puteri bercadang untuk menghidupkan kembali program Keluargaku Ahli Umno yang kini telah sepi dengan memberikannya nafas baru mengikut acuan Puteri.

Rosnah berkata beliau akan mengumumkan tentang program itu tidak lama lagi. -BERNAMA

Artikel Lain