suria

PRK Sibu: Muhyiddin Ketuai Penyokong BN Pada Penamaan Calon

SIBU: Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dijadual mengetuai anggota parti-parti komponen Barisan Nasional (BN) sebagai tanda sokongan kepada calon mereka Robert Lau Hui Yew apabila beliau menyerahkan borang pencalonannya di sini esok bagi pilihan raya kecil kerusi Parlimen Sibu.

Hui Yew, lebih dikenali dengan panggilan Robert Lau Junior, akan menyerahkan borang pencalonannya di Dewan Suarah Sibu.

Tempoh penamaan calon ialah selama satu jam dari 9 pagi, dan kemudiannya disusuli dengan tempoh bantahan selama satu jam, dan selepas itu nama-nama calon akan diumumkan. Pengundian ditetapkan pada 16 Mei.

Pemimpin BN yang lain, antaranya Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Shafie Apdal; Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Noh Omar; Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil dan Timbalan Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Joseph Salang sudah mempunyai program dan jadual padat menjelang pilihan raya kecil itu.

Peguam Hui Yew, 45, mempertahankan kerusi itu dalam kawasan majoriti kaum Cina berikutan kematian Timablan Menteri Pengangkutan dan anggota Parlimen Sibu selama lima penggal Datuk Robert Lau Hoi Chew pada 9 April.

Pengerusi DAP Sarawak dan Anggota Dewan Undangan Negeri kawasan Bukit Assek Wong Ho Leng, 50, disebut-sebut akan menentang Hui Yew, tetapi kemungkinan besar pilihan raya itu tidak akan menyaksikan pertandingan satu lawan satu kerana sekurang-kurangnya seorang calon Bebas dijangka bertanding.

Setakat ini, lima keping borang pencalonan telah dibeli dari pejabat Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), tiga daripadanya oleh wakil DAP dan masing-masing satu oleh calon BN dan Bebas.

Jabatan Meteorologi Sarawak meramalkan cuaca cerah, terutama pada waktu pagi yang menandakan proses penamaan calon akan berjalan lancar.

Kebanjiran orang luar, seperti pekerja kempen parti, anggota penguatkuasaan dan wakil media turut memberi faedah kepada ekonomi penduduk setempat berdasarkan semua bilik hotel habis ditempah dan kesesakan trafik di bandar yang terletak di pinggir sungai terpanjang di negara ini, Batang Rajang.

Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Mohmad Salleh berkata 2,000 anggota polis ditugaskan bagi pilihan raya kecil itu untuk memantau keselamatan dan menjamin ketenteraman.

Pada pilihan raya umum 2008, Hoi Chew mengekalkan kerusi Sibu dengan majoriti 3,549 undi menewaskan Ho Leng dan Lim Chin Chuang dari Parti Keadilan Rakyat (PKR.

Sibu mempunyai 54,695 pemilih berdaftar, terdiri daripada 52,158 pengundi biasa dan 2,537 undi pos terdiri 1,910 anggota tentera dan 627 anggota polis.

Menurut senarai pemilih yang dikemas kini setakat 9 April tahun ini, pengundi Cina adalah hampir 67 peratus daripada jumlah pengundi, diikuti oleh Melayu/Melanau (10.5 peratus) dan Bumiputera Sarawak (22 peratus).

Sebanyak 45 pusat mengundi dengan 110 saluran akan dibuka di 39 buah skeolah, dua tadika dan sebuah pusat latihan, sebuah rumah panjang, sebuah perpustakaan awam dan sebuah pusat rekreasi awam bagi pengundian. -BERNAMA

Artikel Lain