suria

Pihak Pendakwaan Tutup Kes Dalam Perbicaraan Kes Hasutan Karpal Singh

KUALA LUMPUR: Pihak pendakwaan hari ini menutup kesnya selepas memanggil 20 saksi dalam perbicaraan kes hasutan Pengerusi DAP dan peguam Karpal Singh di Mahkamah Tinggi.

Timbalan Pendakwa Raya Noorin Badaruddin memberitahu mahkamah selain para saksi yang telah memberikan keterangan, pihak pendakwaan juga menawarkan baki 43 orang dalam senarai saksi.

Ram Karpal Singh, yang membantu bapanya dalam perbicaraan itu, memberitahu mahkamah yang pihak pembelaan memerlukan masa untuk membuat persediaan kerana hanya menerima sebahagian nota mengenai prosiding daripada mahkamah pada Rabu.

Hakim Azman Abdullah menetapkan 24 Mei bagi kedua-dua pihak menyampaikan hujahan.

Antara mereka yang memberikan keterangan pada perbicaraan itu ialah Timbalan Pengarah Berita TV RTM Roslan Ariffin dan wartawan Utusan Malaysia Nizam Mohd Yatim.

Kemuncak perbicaraan itu ialah rakaman video sidang akhbar Karpal Singh di pejabatnya pada 6 Februari tahun lepas di mana beliau didakwa mengeluarkan kenyataan berunsur hasutan mengenai Sultan Perak.

Selain video, pihak pendakwaan juga mengemukakan transkrip sidang akhbar itu yang disediakan oleh dua wartawan RTM.

Pihak pembelaan berhujah beberapa kenyataan Karpal Singh tidak terkandung dalam transkrip itu.

Pegawai Penyiasat Asisten Supritendan (ASP) Suhaimi Mohamad memberitahu mahkamah terdapat kesalahan ejaan dalam transkrip itu dan juga tidak mengandungi semua soalan yang dikemukakan wartawan pada sidang akhbar itu.

Mahkamah juga diberitahu bahawa 103 laporan polis dibuat oleh individu dan kumpulan yang tidak puas hati dengan kenyataan Karpal Singh pada sidang akhbar itu.

Pada 17 Mac tahun lepas, Karpal Singh minta dibicarakan terhadap pertuduhan mengeluarkan perkataan berunsur hasutan pada sidang akhbar mengenai Sultan Perak di pejabatnya, Tetuan Karpal Singh & Co, Jalan Pudu Lama, di sini antara 12 tengah hari hingga 12.30 tengah hari pada 6 Februari.

Karpal Singh didakwa mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Hasutan 1948 dan menghadapi hukuman denda maksimum RM5,000 atau penjara tiga tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan. - BERNAMA

Artikel Lain