suria

Pakar-Pakar UiTM Akan Ditempatkan Di Seluruh Dunia

BANDUNG: Pakar-pakar dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) sedang ditempatkan di universiti di seluruh dunia dalam program transformasi universiti itu untuk meletakkan Melayu di peta dunia.

Naib Canselor UiTM Datuk Prof Dr Sahol Hamid Abu Bakar berkata, program itu dimulakan di Indonesia dan negara Asean dan kemudiannya akan dikembangkan ke negara Eropah.

"Kita ada perancangan terperinci untuk meletakkan pakar-pakar UiTM Melayu dalam peta dunia. Maknanya Melayu dianggap sebagai pakar rujuk, Melayu dianggap sebagai profesor-profesor pakar dan kita nak kenalkan UiTM di persada dunia," katanya kepada pemberita di sini.

Program itu, katanya, dilaksanakan dengan harapan pensyarah-pensyarah pakar yang telah berkhidmat di universiti di seluruh pelusuk dunia dan lulusan UiTM yang diterima bekerja di luar negara akan pulang ke tanah air selepas 10 tahun untuk menjadi sumber yang amat dikehendaki negara.

Sahol Hamid yang mengetuai delegasi UiTM di Seminar Antarabangsa Peranan Media Dalam Pemilihan Umum Indonesia dan Malaysia, berkata, pada masa yang sama universiti itu turut menghantar pelajarnya untuk menjalani latihan amali di luar negara untuk mendedahkan mereka kepada suasana global.

Sejak tahun lepas, lebih 120 pelajar UiTM telah dihantar ke luar negara untuk menjalani latihan amali termasuk ke Amerika Syarikat, United Kingdom, negara-negara Timur Tengah, Turki, Jerman, Rusia dan Perancis.

Sahol Hamid, seorang profesor kejuruteraan awam dengan pengkhususan dalam bidang banjir, pernah memberi perkhidmatan pakarnya di Universiti Studgatt di Jerman selama 11 tahun, berharap lebih ramai pensyarah UiTM akan mendapat peluang dan pengalaman yang serupa.

"Saya sendiri ialah Profesor di Jerman, hakikinya saya di UiTM, saya dijemput ke Universiti Stuttgart untuk beri dua kursus setiap tahun dan saya juga menyelia program PhD pelajar universiti itu dan ini satu pengiktirafan antarabangsa kepada saya.

"Jadi saya nak ramaikan pensyarah-pensyarah UiTM dengan cara macam ini," katanya.

Bagi menjayakan program ini, pensyarah-pensyarah UiTM sentiasa diberikan peluang untuk menjalani latihan kepakaran khusus untuk menambah nilai kepada mereka.

Ini kerana hanya pensyarah yang mempunyai kepakaran khusus tertentu yang dikehendaki oleh universiti di seluruh dunia.

Di Indonesia, katanya, pensyarah UiTM akan menawarkan kepakaran dalam bidang Kewangan Islam dan Perakaunan Forensik untuk kursus lepas ijazah di peringkat sarjana dan kedoktoran kerana bidang pengkhususan itu sangat diminati di republik itu.

"Pelajar di Indonesia terdiri daripada mereka yang matang dan mereka perlukan pendedahan ilmu dan metodologi dalam bidang kewangan Islam," katanya.

Kelebihan yang dimiliki oleh 90 peratus pensyarah UiTM ialah mereka mempunyai pengalaman yang tidak kurang daripada 20 tahun dalam bidang kewangan Islam dan mereka ini termasuk pakar-pakar dalam industri perbankan yang telah bersara.

Sempena seminar hari ini, UiTM turut menandatangani memorandum persefahaman dengan Universiti Islam Bandung dan universiti baru Universiti Wanita Internasional, Bandung untuk bekerjasama dalam bindang media dan komunikasi.

UiTM sebelum ini telah menandatangani MoU serupa dengan Universiti Padjajaran (UNPAD), Bandung.

Seminar hari ini ialah yang kedua hasil hubungan kerjasama kedua-dua universiti.

Salah satu projek bersama yang dijalankan melalui MoU itu ialah kajian mengenai peranan media masa dalam pemilihan umum Indonesia dan Malaysia. - BERNAMA

Artikel Lain