suria

Mahkamah Arahkan Penjual Air Tebu Untuk Bela Diri

SHAH ALAM: Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini mengarahkan penjual air tebu A. Murugan yang didakwa membunuh pembantu rumah warga Indonesia, Muntik Bani untuk membela diri.

Hakim Mohd Yazid Mustafa membuat keputusan itu setelah mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan pertuduhan ke atas tertuduh mempunyai prima facie setelah meneliti hujah-hujah pihak pendakwaan dan hujahan balas daripada peguambela tertuduh.

Beliau kemudian menetapkan 2 hingga 4 Jun ini untuk Murugan, 35, membela diri.

Peguambela Murugan, V. Rajehgopal memberitahu mahkamah bahawa dia belum dapat memastikan saksi-saksi pembelaan yang akan dipanggil kerana beliau perlu mewawancara mereka terlebih dahulu.

Pihak pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwaraya Idham Abd Ghani dan Siti Fatimah Yahya. Pada 30 Oktober 2009, Murugan didakwa pertama kali di Mahkamah Majistret Klang atas tuduhan membunuh Muntik, 36, yang berasal dari Surabaya.

Murugan didakwa melakukan perbuatan itu antara 18 dan 20 Oktober lepas di rumahnya di No. 11, Jalan Datuk Yusof Shahbudin 6, Taman Sentosa di sini.

Tertuduh yang didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan boleh dihukum gantung sampai mati jika sabit kesalahan.

Kes itu mendapat perhatian umum apabila Muntik meninggal dunia di Hospital Tengku Ampuan Rahimah pukul 10 pagi, 26 Oktober lepas setelah dirawat di unit rawatan rapi. - BERNAMA

Artikel Lain