suria

Lima Terbunuh Dalam Kemalangan Di Kota Tinggi

KOTA TINGGI: Lima bersaudara terbunuh apabila kereta Proton Wira yang mereka naiki bertembung dengan sebuah Mercedez Benz, di KM 81.5 Jalan Johor Baharu-Mersing, berhampiran Felcra Sungai Ara, di sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi Supt Osman Mohammad Sebot berkata kemalangan berlaku pada kira-kira pukul 1.30 tengah hari dan menyebabkan lima daripada tujuh penumpang Proton Wira itu meninggal dunia, manakala dua lagi cedera parah.

Sementara pemandu Mercedez Benz, Kasmadi Kamsan, 44, cedera parah di kaki, isterinya yang berumur 43 tahun cedera di kaki manakala dua anak mereka berumur 18 dan empat tahun, cedera ringan.

"Mangsa yang terbunuh adalah pemandu Proton Wira itu Md Azahar Ali Seman, 39; isterinya Noraini Norzaini, 27; kakak Md Azhar, Zabedah, 49; Putri Alya Batisha Mohd Fadzley, setahun; dan Adriana Balkis Md Isa, 6; manakala dua yang cedera, Nadatul Shima Md Isa, 24; dan Nazrul Haikal Md Azhar, 6 tahun," katanya ketika dihubungi di sini hari ini. Beliau berkata Adriana Balkis merupakan anak Zabedah manakala Putri Alya Batisha cucunya.

Katanya, Nadatul Shima pula yang merupakan anak Zabedah dan Nazrul Haikal anak kepada Md Azahar mengalami beberapa kecederaan di bahagian lengan dan kaki.

Beliau berkata kemalangan berlaku apabila Mercedez Benz yang dari Johor Baharu menghala ke Mersing telah memasuki laluan bertentangan dan berlanggar dengan Proton Wira yang dalam perjalanan dari Endau, Mersing ke Kangkar Pulai, Johor Baharu.

Katanya, difahamkan, kesemua mangsa yang menaiki kereta Proton Wira itu dalam perjalanan untuk menghadiri satu majlis pertunangan, di Kangkar Pulai, esok.

Akibat pelanggaran, kedua-dua kenderaan itu remuk di bahagian depan.

"Kesemua mayat lima bersaudara itu serta dua yang cedera dihantar ke Hospital Kota Tinggi untuk bedah siasat dan rawatan lanjut," katanya.

Kasmadi dan keluarganya pula katanya dihantar ke Hospital Sultanah Aminah Johor Baharu untuk menerima rawatan. -BERNAMA

Artikel Lain