suria

Juruhebah Papa Din Meninggal Dunia

SEREMBAN: Juruhebah Radio Malaysia NEGERIfm, Kamaruddin Kassim atau lebih dikenali sebagai Papa Din meninggal dunia di Hospital Tuanku Ja'afar di sini, malam tadi.

Menurut rakan setugas Allahyarham, Fazidah Mohd Yusof, Kamaruddin meninggal dunia pada kira-kira pukul 7.30 petang semalam. Beliau berusia 56 tahun.

Allahyarham yang berasal dari Kampung Ulu Cheka, Jerantut, Pahang, meninggalkan seorang isteri, Masitah Yusuf, 54, serta lapan orang anak dan dua orang cucu.

"Menurut ahli keluarganya, Allahyarham dimasukkan ke wad dua hari lepas setelah mengadu sakit perut. Saya difahamkan Allahyarham pernah menjalani pembedahan pada tahun lepas akibat barah usus yang dihidapinya," katanya kepada Bernama.

Fazidah berkata Allahyarham pada awal kariernya bertugas di Unit Hiburan Muzik Radio Kuala Lumpur dan kemudian ditempatkan di unit yang sama di Radio Malaysia Melaka. "Kemudian pada Ogos 1990, Allahyarham bertugas di Radio Malaysia NEGERIfm sewaktu itu dikenali sebagai Radio Tiga Seremban sebagai Penerbit Rancangan.

"Sewaktu bertugas di Negeri Sembilan, Allahyarham telah menerbitkan beberapa rancangan radio antaranya ialah Rancangan Tunas Sembilan, iaitu program mencungkil bakat-bakat baru nyanyian, di mana penyanyi terkenal Siti Nordiana turut dicungkil dari program tersebut," katanya.

Katanya program terakhir yang sempat diterbitkan Allahyarham di Radio Malaysia NEGERIfm ialah Teen Search.

Jenazah Allahyarham akan dikebumikan esok di Tanah Perkuburan Makam Tuan Haji Said di sini, selepas Solat Jumaat. - BERNAMA

Artikel Lain