suria

H1N1: 73 Kes Baru Dilaporkan Sehingga Semalam

PUTRAJAYA: Sejumlah 73 kes baru H1N1 dilaporkan petang semalam, menjadikan jumlah terkumpul kes berkenaan sebanyak 13,962 setakat ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Mohd Ismail Merican berkata, kes ILI yang masih dirawat pula adalah 616 kes dan daripada jumlah itu, 92 disahkan sebagai H1N1.

Katanya, sepuluh kes masih dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan lapan daripadanya dikategorikan sebagai kes yang berisiko.

"Bagaimanapun, tiada kematian terbaru yang dilaporkan dan jumlah kematian buat masa ini masih kekal 82 orang," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Mohd Ismail berkata, penularan wabak H1N1 masih aktif dalam komuniti, justeru langkah-langkah penjagaan perlu diamalkan dengan serius.

"Mereka yang mempunyai gejala ILI seperti demam, batuk, selesema dan sakit tekak dinasihatkan supaya tidak mengunjungi tempat awam dan hendaklah memakai penutup hidung dan mulut apabila berhubung dengan orang lain.

"Mereka juga perlu mendapatkan rawatan pada kadar segera terutamanya jika mereka termasuk dalam golongan yang berisiko tinggi," katanya. -BERNAMA

Artikel Lain