suria

Dua Remaja Ditahan Samun Pusat Internet

KUALA LUMPUR: Polis sudah menahan dua lagi remaja yang terbabit dalam kejadian cubaan samun sebuah pusat internet 24 jam di Jalan Genting Klang di sini oleh lapan remaja awal pagi Rabu lepas, menjadikan semuanya lima remaja sudah ditahan berhubung kes itu.

Ketua Polis Daerah Sentul ACP Zakaria Pagan berkata kedua-dua remaja berumur 17 tahun itu ditahan dalam serbuan di sebuah rumah di Bukit Antarabangsa antara pukul 8 dan 12 malam, semalam.

Beliau berkata hasil siasatan mendapati kedua-dua remaja itu tidak mempunyai rekod jenayah lampau dan mereka kini ditahan reman sehingga 12 Mei ini bagi membantu siasatan.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai tiga lagi suspek kejadian samun Rabu lepas diminta menghubungi balai polis berhampiran," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Dalam kejadian awal pagi pada Rabu lepas, tujuh lelaki bersenjatakan pedang, gergaji dan pisau menyerbu pusat internet itu dan mengugut pengurus premis supaya menyerahkan wang manakala seorang lagi rakan mereka menunggu di dalam sebuah kereta di luar premis berkenaan. -BERNAMA

Artikel Lain