suria

Prosiding Hina Mahkamah Terhadap Nazri Diputuskan Pada 21 Mei Ini

SHAH ALAM: Koroner Azmil Muntapha Abbas hari ini menetapkan 21 Mei ini bagi keputusan sama ada membenarkan abang mendiang Teoh Beng Hock memulakan prosiding menghina mahkamah terhadap Menteri di Jabatan Perdana Datuk Seri Mohd Nazri Abdul Aziz.

Beliau menetapkan tarikh tersebut selepas mendengar penghujahan dari peguam kanan persekutuan Amarjeet Singh, yang mewakili Jabatan Peguam Negara, dan peguam Karpal Singh bagi Mee Kee.

Azmil berkata beliau memerlukan masa untuk menelti kes perundangan yang dikemukakan oleh kedua-dua pihak sebelum membuat keputusan.

Meng Kee memfailkan permohonan 'ex-parte' (sebelah pihak) pada 16 April lalu dan pada 28 April lalu, Azmil membenarkan permohonan Peguam Negara untuk menjadi pencelah dalam kes itu.

Pada prosiding hari ini, Amarjeet menggesa mahkamah supaya permohonan Mee Kee itu ditolak atas alasan ianya kekurangan kes 'prima facie' untuk memulakan prosiding menghina mahkamah.

"Tuduhan Mee Kee dalam afidavit itu tidak disokong dengan laporan 'Malaysiakini' yang menjadi bukti penting dalam permohonan itu," katanya.

Pada 11 April lalu, portal berita itu melaporkan kenyataan Nazri yang menuduh pakar patalogi Thailand, Dr Pornthip Rojanasunand sebagai pembohong kerana mendakwa ada tekanan ke atasnya supaya tidak hadir untuk memberi keterangan pada inkues kematian Beng Hock.

Amarjeet berkata selain tidak disokong dengan keterangan yang boleh diterima, afidavit Meng Kee juga hanya desas-desus sahaja berdasarkan laporan orang lain.

Selain itu, katanya, bagi memperbetulkan fakta dalam permohonan itu, Karpal telah meminta bantuan wartawan Malaysiakini Hazlan Zakaria untuk memfailkan afidavit pada 28 April lalu bagi mengesahkan perkataan yang dikeluarkan oleh Nazri semasa tembual menerusi telefon di mana dia didakwa memanggil Dr Pornthip sebagai pembohong.

Amarjeet berkata afidavit kedua itu tidak bermakna kerana ia tidak disertakan dengan artikel asal untuk menyokong tuduhan terhadap Nazri.

Mahkamah perlu menolak permohonan itu kerana pemohon tidak mematuhi Aturan 52 Peraturan 2(2) Tatacara Mahkamah Tinggi 1980, di mana afidavit menyokong permohonan itu tidak mengandungi alasan yang secukup untuk menteri menjawab tuduhan itu, katanya.

Dalam pada itu, Karpal berkata kebenaran perlu diberikan untuk Nazri menjawab tuduhan terhadapnya.

Peraturan perlu ditetapkan bahawa tidak ada sesiapa campur tangan dalam proses mahkamah, katanya.

"Apa yang berada di depan mahkamah adalah perkara yang amat berbalah dan mahkamah dijangka bertindak tanpa gentar atau pilih kasih serta berani dalam membenarkan permohonan itu, kata Karpal.

Katanya Nazri harus dibenarkan membela diri dan Peguam Negara, sebagai penjaga kepentingan awam, tidak harus campur tangan.

Beng Hock, 30, ditemui mati pada 16 Julai tahun lalu di tingkat lima, Plaza Masalam di sini selepas memberi keterangan di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor yang terletak di tingkat 14 bangunan sama.

Minggu lepas, Azmil menetapkan 20 Mei ini untuk mendengar pandangan Dr Pornthip, yang dibawa oleh kerajaan Selangor, selepas keterangan pakar forensik Britain, Prof Dr Peter Vanezis, yang bertindak bagi SPRM, pada 26 dan 27 April lalu. - BERNAMA

Artikel Lain