suria

Polis Tumpas Kumpulan Curi Kereta Di Ulu Tiram

JOHOR BAHARU: Polis percaya berjaya menumpaskan kumpulan mencuri kereta selepas menahan enam lelaki termasuk tiga warga asing di Ulu Tiram di sini, hujung bulan lepas dan semalam.

Ketua Polis Johor Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff berkata kesemua mereka ditahan selepas polis membuat serbuan di sebuah pusat servis, kimpalan dan mengecat kereta, di Lot 1059, batu 13, Jalan Sungai Tiram, Ulu Tiram, 28 April lepas.

"Bertindak atas maklumat, polis menahan pemilik premis tersebut yang berumur 38 tahun serta empat pekerjanya, seorang lelaki tempatan dan tiga rakyat asing berumur antara 30 dan 50 tahun," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor di sini, hari ini.

Mohd Mokhtar berkata polis yang menjalankan pemeriksaan di premis itu menemui lapan kereta pelbagai jenis yang dianggarkan kesemuanya bernilai RM1 juta, yang didapati kereta curi.

Beliau berkata beberapa komponen kereta jenis Proton Gen 2 turut dijumpai di dalam stor dan pemeriksaan mendapati kenderaan itu dilaporkan hilang di Taman Johor Jaya, di sini.

Katanya berdasarkan penahanan awal, polis kemudian berjaya menahan seorang lagi lelaki berumur 35 tahun, kira-kira pukul 6 petang semalam yang dipercayai turut terlibat dalam kumpulan mencuri kereta tersebut.

Keenam-enam lelaki yang tidak mempunyai rekod jenayah itu kini direman untuk membantu siasatan. Dalam kes lain, Mohd Mokhtar berkata polis menahan seorang lelaki berumur 22 tahun yang dipercayai menyamar sebagai anggota penguatkuasa di Jalan Susur 3, Larkin Perdana, di sini, pagi semalam.

Beliau berkata anggota polis dari Balai Larkin, di sini, yang sedang menjalankan tugas rondaan cegah jenayah menahan lelaki tersebut yang sedang menunggang sebuah motosikal, kira-kira puul 3.30 pagi.

"Polis menemui satu pisau Rambo di pinggang lelaki berkenaan selain satu pisau lipat, pedang buatan sendiri, sepucuk pistol tiruan, baret berlogo Kastam Diraja Malaysia dan baret berlogo Polis Diraja Malaysia," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain