Polis Tahan Dua Lagi Remaja Terbabit Kes Samun Kafe Internet Semalam - Semasa | mStar

Polis Tahan Dua Lagi Remaja Terbabit Kes Samun Kafe Internet Semalam

KUALA LUMPUR: Polis menahan dua lagi remaja yang terbabit dalam kejadian cubaan samun sebuah pusat internet 24 jam di Jalan Genting Klang di sini oleh lapan remaja awal pagi semalam, menjadikan semuanya tiga remaja sudah ditahan berhubung kes itu.

Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Abu Samah Mat berkata kedua-dua mereka yang berumur 17 tahun itu ditahan petang dan awal pagi ini selepas mereka menyerah diri kepada polis.

Beliau berkata remaja pertama menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul pada kira-kira pukul 4.30 petang semalam selepas tamat waktu persekolahannya.

"Remaja kedua pula ditahan di rumah keluarganya di Keramat kira-kira pukul 1 pagi," katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas mengadakan lawatan sempena Hari Polis di Hospital Kuala Lumpur (HKL) di sini hari ini.

Katanya siasatan lanjut mendapati remaja pertama bertindak sebagai penyamun dan penunggang motosikal dalam kejadian semalam manakala suspek kedua adalah pemandu kereta yang berada di luar premis berkenaan, dan kedua-dua suspek tidak mempunyai lesen memandu.

Abu Samah berkata polis percaya kumpulan ini terlibat dalam beberapa kes di sekitar Lembah Klang dengan modus operandi mereka adalah dengan menyamun pusat internet di awal pagi.

Dalam kejadian awal pagi semalam tujuh lelaki bersenjatakan pedang, gergaji dan pisau menyerbu pusat internet itu dan mengugut pengunjungnya supaya menyerahkan wang manakala seorang lagi rakan mereka menunggu di dalam sebuah kereta di luar premis berkenaan.

Seorang daripada tujuh suspek itu ditembak di bahagian kaki selepas cuba menyerang anggota polis dengan melibaskan gergaji.

Abu Samah berkata suspek yang sedang menerima rawatan di HKL itu berada dalam keadaan stabil dan polis sudah mendapatkan perintah reman untuk menahannya sehingga 11 Mei ini bagi membantu siasatan.

Sementara itu dalam kes berasingan, seorang penyelia wanita sebuah stesen minyak di Wangsa Melawati, dekat sini menemui sepucuk pistol semi automatik yang dipercayai diletakkan di dalam tandas wanita stesen terbabit tiga hari lepas.

Ketua Polis Daerah Sentul Asisten Komisioner (ACP) Zakaria Pagan berkata dalam kejadian itu pekerja wanita berkenaan menemui satu bungkusan plastik semasa membersihkan tandas Isnin lepas, lalu beliau menyerahkan bungkusan itu kepada penyelianya.

"Kira-kira pukul 9 pagi ini penyelia itu membuka bungkusan plastik tersebut dan terkejut mendapati ada sepucuk pistol di dalamnya. Polis yang tiba selepas dimaklumkan mengenainya mendapati ia merupakan sepucuk pistol semi-automatik 9mm jenis Sigsauer yang dilaporkan hilang di Ampang oleh sebuah sebuah syarikat keselamatan pada 30 April lepas," katanya. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Berkaitan

Klik

default image

Merangsang Korporat Malaysia, PNB rangka strategi bersama pemimpin korporat kukuhkan ekonomi negara

SEJAJAR usaha Malaysia untuk menjadi kuasa ekonomi, adalah tepat pada masanya bagi sektor korporat negara meninjau ke arah langkah-langkah perubahan.

default image

Teknologi analitik data raya asas pelaksanaan inisiatif kerajaan masa depan – Saifuddin Nasution

PROGRAM Subsidi Petrol merupakan inisiatif kerajaan untuk meringankan beban isi rumah berpendapatan rendah melalui pengagihan semula subsidi petrol.

default image

UMP terajui usaha perkasa TVET di negara ini

SELEPAS 17 tahun ditubuhkan, Universiti Malaysia Pahang (UMP) kini merupakan salah satu universiti utama di negara ini yang menawarkan Program Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) di peringkat tinggi.

default image

Cekap tangani isu sekolah daif, Kementerian Pendidikan sasar selesai tiga tahun lagi

KEMENTERIAN Pendidikan sedang bekerja keras dalam usaha membaiki dan membina semula sekolah yang dalam keadaan daif di seluruh negara.

default image

Penerima sulung Anugerah Ikon Pesara sebak imbau saat bersama kanak-kanak disleksia – “Persaraan berbaloi... ada jadi pilot, arkitek dan peguam”

KARNIVAL Rasa Sayang (KRS) 2019 anjuran KWAP membuka mata bakal pesara dan pesara untuk bergiat aktif selepas persaraan.

Artikel Lain