KUALA LUMPUR: Semua pelatih Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) Kumpulan 2 Siri 7/2010, yang mendapat tawaran memasuki Tingkatan 6 Bawah akan diberi pelepasan seminggu lebih awal dari tarikh tamat latihan.Ketua Pengarah Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN) Datuk Abdul Hadi Awang Kechil berkata pelepasan itu bagi memberi keselesaan kepada pelatih-pelatih membuat persiapan bagi memasuki Tingkatan 6 bawah. "Pelatih-pelatih yang akan memasuki Tingkatan 6 Bawah dibenarkan keluar dari kem pada 5 Jun 2010 dan dianggap tamat latihan PLKN dan diberi sijil penyertaan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.Beliau berkata pelatih perlu memaklumkan kepada komandan kem PLK Nmasing-masing bagi tujuan pengesahan menjalani latihan untuk dimaklumkan kepada pihak sekolah berkenaan.Katanya, ini bertujuan supaya tempat yang diperuntukkan kepada pelatih-pelatih PLKN tidak diberikan kepada pemohon lain.Kementerian Pelajaran Malaysia memutuskan pelatih PLKN perlu mendaftarkan diri di sekolah mereka ditempatkan sebaik sahaja tamat latihan. - BERNAMA