suria

Lelaki Dikehendaki Polis Ditahan Selepas Berlindung Sebulan Di Rumah Kebajikan

IPOH: Seorang lelaki berumur 27 tahun yang diburu polis kerana terbabit dalam kes-kes penipuan di Selangor, ditahan di sebuah rumah kebajikan di Tambun di sini semalam, sebulan selepas beliau bersembunyi di rumah kebajikan itu.

Ketua Polis Daerah Ipoh, ACP Azisman Alias berkata lelaki itu ditahan apabila polis menyerbu rumah berkenaan selepas mendapat maklumat mengenai seorang lelaki yang memiliki senjata api yang tinggal di rumah tersebut.

Beliau berkata polis turut merampas tiga pistol tiruan, 10 pasang gari dan dua jaket pegawai polis milik lelaki berkenaan dalam serbuan pada kira-kira pukul 3 petang itu.

Katanya turut ditemui ialah sebilah pisau, pas palsu Ketua Cawangan Khas Perak dan pelawat Cawangan Khas, cop polis selaku pegawai penyiasat jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur berpangkat Supt, dua walkie talkie, 10 pasport milik warga Myanmar dan Nepal yang sudah tamat tempoh, satu komputer dan sebuah kereta.

"Siasatan mendapati suspek mempunyai empat kesalahan lampau iaitu tiga kes tipu dan satu mencuri. Dia juga mempunyai tiga rekod jenayah dan merupakan Orang Dikehendaki polis," katanya pada satu persidangan akhbar di Ibupejabat Polis Daerah Ipoh hari Khamis.

Azisman berkata pihaknya sedang menyiasat motif sebenar suspek menyimpan barang berkenaan tetapi tidak menolak kemungkinan barang-barang itu digunakan bagi tujuan menyamar atau jenayah.

"Kami juga sedang menyiasat bagaimana suspek boleh tinggal di rumah jagaan yang dihuni kanak-kanak dan remaja berusia antara 7 dan 17 tahun itu," katanya.

Beliau berkata suspek yang berasal dari Petaling Jaya itu direman tujuh hari mulai semalam untuk siasatan lanjut dan polis sedang mengesan sama ada beliau mempunyai rekod jenayah lain. - BERNAMA

Artikel Lain