suria

Gagal Bagi Jawapan Kerana Tempoh Siasatan Singkat - Saksi

PETALING JAYA: Mahkamah Sesyen hari ini diberitahu saksi tidak dapat memberi jawapan dalam siasatan awalnya untuk mengaitkan individu yang terlibat dalam kematian A. Kugan di Balai Polis Taipan pada Januari tahun lepas.

Asisten Supritendan (ASP) Mohd Zainal Mohd Abdullah, 32, yang bertugas sebagai pegawai penyiasat dalam kematian Kugan di Ibu Pejabat Polis Petaling Jaya, berkata ini adalah disebabkan beliau hanya diarahkan menyiasat dalam masa tiga hari bermula 20 sehingga 23 Januari.

"Memandangkan saya menyiasat kes ini pada 20 Januari dan berakhir 23 Januari, dan ia adalah tempoh yang singkat untuk diri saya mengetahui apa sebenarnya terjadi.

"Saya juga banyak menghabiskan masa di Hospital Serdang berikutan kegagalan proses pembedahan mayat Kugan dilakukan mengikut masa yang telah dipersetujui oleh pihak hospital sehingga menyebabkan penundaan masa itu," katanya ketika menyambung soal balas daripada peguam bela Datuk PM Nagarajan.

Katanya selepas mendapat kesemua laporan dan spesimen mengenai mayat Kugan, Mohd Zainal telah menyerahkan kes itu kepada anggota polis yang lain, ASP Marzuki Mokhtar.

Beliau juga mengaku hanya sempat merakamkan percakapan dua saksi iaitu Doktor Baldev Singh Gill, 43 dan Doktor Abdul Karim Tajuddin, 61, tanpa menyoal mana-mana saksi lain termasuk kesemua anggota di Balai Polis Taipan.

Saksi ke-21 pendakwaan itu memberi keterangan tersebut pada perbicaraan kes Navindran, 28, yang mengaku tidak bersalah 1 Oktober lepas terhadap dua pertuduhan menyebabkan kecederaan parah kepada Kugan, 23, suspek kes curi kereta mewah.

Navindran didakwa melakukan perbuatan itu di bilik soal siasat pejabat D9, di Balai Polis Taipan, USJ, Subang Jaya, 7 pagi, 16 Januari tahun lepas.

Dia didakwa mengikut Seksyen 331 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 10 tahun dan boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan.

Bagi dua pertuduhan pilihan menyebabkan cedera kepada Kugan, Navindran turut mengaku tidak bersalah di tempat dan tarikh sama mengikut Seksyen 330 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan boleh didenda.

Beliau berkata, pihak hospital ada menyerahkan dan memintanya menandatangani surat penyerahan mayat Kugan sebelum menyerahkan kepada ahli keluarganya pada pukul 3 petang, 22 Januari.

Perbicaraan di hadapan Hakim Aslam Zainuddin bersambung esok. - BERNAMA

Artikel Lain