suria

Empat Penyamun Larikan Barang Kemas Bernilai Setengah Juta

KUALA LUMPUR: Empat lelaki bersenjatakan sepucuk pistol melarikan lima dulang barang kemas yang dianggar bernilai RM500,000 dalam satu kejadian samun di sebuah kedai emas di tingkat satu sebuah pusat membeli belah di Jinjang di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Sentul, ACP Zakaria Pagan berkata, kejadian berlaku pada kira-kira pukul 12.15 tengah hari apabila empat lelaki itu memasuki kedai berkenaan dan berlagak seperti pelanggan, bertanyakan mengenai barang kemas yang dipamerkan di dalam kedai itu.

Beliau berkata seorang daripada suspek kemudian bertindak mengacukan pistol ke arah seorang daripada empat pekerja kedai emas itu, dan mengarahkan pekerja kedai itu memasukkan barang kemas ke dalam beg plastik yang dibawa sebelum melarikan diri.

"Kesemua suspek yang berusia lewat 30-an itu mengambil masa lima minit untuk melarikan barang kemas tersebut tanpa menimbulkan syak wasangka pengunjung di pusat membeli-belah berkenaan," katanya ketika ditemui di sini.

Katanya polis sedang meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang dipasang di dalam premis serta pusat beli-belah itu, dan orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung kejadian itu diminta menghubungi polis bagi membantu siasatan.

Zakaria berkata premis berkenaan mungkin menjadi sasaran kerana ia tidak mempunyai pengawal keselamatan, dan menurutnya kes sedang disiasat mengikut Seksyen 397 Kanun Keseksaan kerana melakukan samun bersenjata. - BERNAMA

Artikel Lain