suria

Ahli Perniagaan Mengaku Tidak Bersalah Buat Pernyataan Palsu

KUALA LUMPUR: Seorang ahli perniagaan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tuduhan membuat pernyataan palsu berhubung akujanji berjumlah RM1.5 bilion bagi penubuhan sebuah yayasan kebajikan, hampir empat tahun lepas.

Anuar Abd Aziz, 56, didakwa membuat pernyataan itu kepada Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dalam Surat Pengesahan dan Akujanji Sumbangan bertarikh 9 November 2006 di Tingkat 2, 10-18, Putra Place, 100 Jalan Putra, di sini, pada 2 November 2006 dan 9 November 2006.

Pernyataan itu didakwa untuk menubuhkan Yayasan Sejahtera Malaysia yang diasaskan oleh tertuduh. Anuar didakwa mengikut Seksyen 364 (2) Akta Syarikat 1965 (Akta 125) yang membawa hukuman penjara 10 tahun atau denda maksimum RM250,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Terdahulu itu, Pegawai Pendakwa Mohamad Azies Han Mohd Fadzil dari SSM memohon mahkamah mengenakan ikat jaminan RM100,000 dengan seorang penjamin dengan alasan kes tersebut adalah serius kerana melibatkan penubuhan sebuah yayasan untuk membantu orang awam.

Bagaimanapun, peguam tertuduh, Datuk V.Sithambaram, berkata jumlah jaminan itu adalah terlalu tinggi kerana anak guamnya diikat jamin RM150,000 berhubung kes yang sama pada 24 Ogos 2009 di samping melaporkan diri di Balai Polis Jalan Travers di sini sekali dalam sebulan.

Hakim Jagjit Singh kemudiannya membenarkan jaminan RM50,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 20 Mei ini untuk sebutan kes. - BERNAMA

Artikel Lain