suria

Abu Seman Ziarah Keluarga Aminulrasyid

SHAH ALAM: Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Wira Abu Seman Yusop hari ini meluangkan masa menziarahi keluarga Aminulrasyid Amzah di kediaman mereka di Seksyen 11 di sini petang tadi.

Beliau yang datang bersama Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Datuk Ahmad Fuad Abdul Aziz tiba di kediaman keluarga Aminulrasyid pada pukul 2 petang tadi dan meluangkan masa bersama keluarga mangsa selama kira-kira 30 minit.

"Saya melawat keluarga arwah, datang dengan isteri, Datuk Fuad dan isteri. Lebih pada nak melawat keluarga," katanya ketika ditanya mengenai tujuan kunjungan beliau itu.

Abu Seman berkata beliau dan rombongannya menyampaikan perasaan simpati mereka terhadap kejadian yang menimpa Aminulrasyid dan turut menghulurkan sedikit sumbangan untuk keluarga itu.

Dalam pada itu, beliau berkata keluarga Aminulrasyid meminta supaya pihak berkuasa memastikan nama remaja itu dibersihkan.

Abu Seman yang juga Pengerusi kepada Panel Khas siasatan kematian Aminulrasyid berkata panel itu ditubuhkan bagi memastikan perjalanan siasatan adalah terbuka dan adil untuk semua.

Aminulrasyid, 15, meninggal dunia selepas terkena tembakan polis yang mengejar kereta yang dipandunya di Seksyen 11 pada awal pagi 26 April lepas. - BERNAMA

Artikel Lain