suria

84 Kenderaan Thailand Ditahan Dalam Ops Checkmate Sejak 1 Mac

KANGAR: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Perlis menahan 84 kenderaan awam Thailand yang didapati membawa penumpang di negara ini dalam Ops Checkmate sejak 1 Mac lepas.

Pengarah JPJ Perlis Zulhasmi Mohamad berkata jumlah itu termasuk 14 buah kenderaan awam negara jiran itu yang ditahan hari ini di beberapa lokasi.

Zulhasmi berkata mereka didapati melanggar Seksyen 33 Akta Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) 1987 dan sebagai kenderaan awam di Thailand, mereka tidak dibenarkan membawa penumpang atau barang dalam negara ini sebaliknya mereka boleh menggunakan khidmat pengangkutan awam di sini.

Katanya pemandu kenderaan itu telah dikenakan kompaun sebanyak RM300 dan selepas membayar kompaun itu, mereka diarah pulang ke Thailand atau menghadapi risiko ditahan semula jika didapati masih beroperasi di atas jalan raya negara ini.

Bercakap kepada pemberita di pejabatnya hari ini, beliau berkata Ops Checkmate itu akan berterusan dan diadakan setiap hari bagi mengesan pesalah trafik.

Beliau turut menasihati para pelancong yang memasuki Malaysia supaya menggunakan kenderaan awam negara ini untuk ke destinasi pilihan mereka. - BERNAMA

Artikel Lain