suria

57 Kes Baru H1N1 Dikesan Di Seluruh Negara

PUTRAJAYA: Sebanyak 57 kes baru Influenza A (H1N1) dikesan di seluruh negara sehingga pukul 5.30 petang semalam, menjadikan jumlah terkumpul kes itu 13,889.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Mohd Ismail Merican berkata, bagaimanapun tiada laporan kematian terbaru akibat penyakit itu, dengan jumlah kematian disebabkan H1N1 kekal 82 orang.

Beliau berkata, sehingga pukul 8 pagi ini, 13 laporan kejadian kluster penyakit serupa influenza (ILI) dilaporkan berlaku di Perak, Johor, Kelantan, Selangor, Sarawak, Negeri Sembilan dan Terengganu.

"Jumlah kes ILI yang masih dirawat di wad di seluruh negara adalah sebanyak 632 kes. Daripada jumlah itu, 76 kes telah disahkan positif H1N1.

"Bilangan yang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) adalah sembilan kes dengan enam daripadanya mempunyai faktor-faktor risiko," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Dr Mohd Ismail mengingatkan orang ramai bahawa penularan jangkitan H1N1 terus aktif dalam komuniti dan menasihatkan mereka yang mengalami gejala ILI supaya segera mendapatkan pemeriksaan perubatan di klinik berhampiran.

Beliau juga menggesa masyarakat agar terus berwaspada dan mengamalkan langkah-langkah pencegahan terhadap penyakit itu. - BERNAMA

Artikel Lain