suria

PM Umum Khidmat Siaran TV Dan Radio Menerusi Satelit 12 Mei Ini Di Sibu

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dijangka mengumumkan mengenai perkhidmatan siaran televisyen dan radio menerusi pancaran satelit Measat bagi penduduk di Sabah dan Sarawak, pada 12 Mei di Sibu, Sarawak.

Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim berkata, kementerian telah berunding dengan Astro yang bertanggungjawab mengendalikan satelit tersebut agar dapat memberikan perkhidmatan siaran televisyen yang terbaik bagi penduduk di Sabah dan Sarawak.

"Saya telah memaklumkan kepada Perdana Menteri di sesi mesyuarat jemaah menteri hari ini bahawa kementerian ini sedang berusaha dengan syarikat Astro supaya pancaran atau isyarat gelombang televisyen menerusi satelit diharap dapat dilancarkan oleh Perdana Menteri khusus bagi kawasan di Sabah dan Sarawak," katanya kepada pemberita selepas menghadiri mesyuarat jemaah kabinet di sini hari ini.

Beliau berkata, dengan pengumuman itu nanti, selaras dengan gagasan 1Malaysia, penduduk di sekitar Sarawak dan Sabah akan menerima pancaran siaran televisyen yang lebih jelas yang sebelum ini agak sukar diterima di beberapa kawasan di negeri-negeri tersebut.

"Siaran FM radio juga tidak dapat diterima di sebahagian besar kawasan di Sabah dan Sarawak bagaimanapun perkhidmatan ini berkemungkinan dimulakan dengan siaran televisyen dulu," katanya.

Beliau berkata, kerajaan juga dapat menjimatkan kos dengan menggunakan perkhidmatan satelit yang lebih praktikal berbanding membina menara atau tempat pancaran baru.

"Jika itu dilakukan kosnya hampir RM90 juta untuk kita bina menara pancaran baru, setelah kita melihat kemungkinan sains dan teknologi maka kita berpendapat menggunakan satelit Measat yang dimiliki kerajaan Malaysia adalah lebih praktikal," katanya.

Rais berkata, kementerian menerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) sedang mengkaji mengenai kos untuk membekalkan kotak-kotak penerimaan pancaran kepada penduduk supaya mereka mendapat isyarat televisyen yang lebih jelas.

"Kita kena lihat beberapa model (kotak penerimaan pancaran) dahulu, walau apa pun sekiranya model itu model yang baru, ianya takkan membebankan rakyat, kita sedang berurusan dengan SKMM supaya seminimum mungkin kita dapat bekalkan kepada rakyat tanpa membebankan mereka.

"Sekiranya SKMM berkemampuan untuk menampung kos minimum kotak-kotak itu, barangkali para pengguna hanya perlu bayar sedikit sahaja dari kos sebenar, tiada caj seperti Astro, hal itu sedang kita urus supaya tidak membebankan masyarakat di Sabah dan Sarawak," katanya.

Beliau berkata, pada tarikh tersebut juga, Perdana Menteri akan melancarkan Komputer Rakyat 1Malaysia di bawah inisiatif Jalur Lebar Negara dan Jalur Lebar Berkelajuan Tinggi (HSBB).

"Tidak kurang 1,000 unit komputer akan kita edarkan untuk anak-anak sekolah, pemimpin masyarakat luar bandar, penduduk rumah panjang sekaligus kita dapat tunaikan janji perjuangan berkaitan jalur lebar ini," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain