suria

Pelayan Restoran Mengaku Tidak Bersalah Samun Wanita Di Johor Baharu

JOHOR BAHARU: Seorang pelayan restoran mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tuduhan menyamun seorang wanita petang semalam.

Cho Choon Fatt, 31, dituduh menyamun Chong Sin Yi, 24, dengan merampas sebuah beg warna putih bersama kad pengenalan, telefon bimbit Nokia N72, lesen memandu, pasport dan wang tunai RM30, di Jalan Harimau Tarom, di sini kira-kira pukul 5 petang semalam.

Cho yang berasal dari Stulang Laut di sini, dituduh mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan, yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga 14 tahun dan denda atau sebatan.

Hakim Salawati Djambari membenarkan jaminan sebanyak RM8,000 dengan seorang penjamin serta menetapkan tarikh perbicaraan pada 21, 22 dan 23 Dis depan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mazri Mohamed manakala Cho tidak diwakili peguam. - BERNAMA

Artikel Lain