suria

PAS Tak Terlibat Salur RM4 Juta Kepada Kickdefella - Setiausaha Agung

PETALING JAYA: PAS semalam menafikan parti itu mempunyai agenda menjatuhkan bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi dengan menyalurkan peruntukan sebanyak RM4 juta kepada penulis blog Kickdefella, Syed Azidi Syed Abdul Aziz bagi menjalankan operasi gerak saraf.

Setiausaha Agungnya, Datuk Mustafa Ali berkata, bagaimanapun PAS tidak menafikan agendanya untuk menjatuhkan kerajaan Barisan Nasional (BN) dan bukannya individu seperti didakwa penulis blog berkenaan.

Beliau juga turut menafikan pembabitan parti itu dalam firma Global Media Channel (GMC) dan mendakwa pucuk pimpinan PAS termasuk Mursyidul Am, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Presiden, Datuk Seri Abdul Hadi Awang tidak mengetahui tentang syarikat itu.

“Adalah menjadi matlamat perjuangan parti politik baik PAS mahupun Pakatan Rakyat berusaha untuk menjatuhkan kerajaan yang ada sekarang. Memang menjadi agenda politik masing-masing, tetapi menjatuhkan seseorang bukan agenda PAS.

“Apa yang didedahkan (Syed Azidi) adalah tidak benar dan tidak ada kena mengena dengan Pas,” katanya kepada mStar Online semalam.

Kontroversi itu tercetus setelah penulis blog Kickdeffella itu mendedahkan yang dia menerima peruntukan lebih RM4 juta dalam tempoh tiga tahun untuk aktiviti gerak saraf bagi mewujudkan persepsi buruk dan melemahkan pentadbiran Abdullah ketika menjadi Perdana Menteri.

Ekoran daripada pendedahannya itu, Syed Azidi telah membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung isu tersebut.

Dalam pada itu, ketika ditanya mengenai dakwaan penulis blog itu bahawa pemimpin PAS turut terbabit, Mustafa berkata PAS sememangnya tidak mempunyai kaitan langsung, namun dari segi penglibatan mana-mana individu di dalam parti, itu beliau tidak tahu menahu.

Jelasnya, memandangkan perkara itu sudah dipanjangkan kepada SPRM, PAS menyerahkan kepada suruhanjaya terbabit menjalankan siasatan dan tidak gentar menghadapinya kerana parti itu tidak terbabit.

“Saya menafikan perkara ini dan ia bukan agenda PAS..orang PAS (pembabitan pemimpin PAS) saya tidak tahu. Saya juga mencadangkan kerajaan Pas Kelantan supaya meneliti kenyataan Syed Azidi yang disiarkan dalam media massa,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau mempersoalkan tindakan Syed Azidi yang mendedahkan perkara itu selepas dipecat daripada Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK) dan menyifatkannya sebagai seorang 'tentera upahan' yang tidak berintegriti.

Artikel Lain