suria

Negara Akan Punyai Loji Tenaga Nuklear Pada 2021

KUALA LUMPUR: Kerajaan telah memberi lampu hijau kepada Kementerian Tenaga, Air dan Teknologi Hijau untuk meneruskan rancangan bagi membina sebuah loji janakuasa nuklear negara yang pertama yang dijangka beroperasi menjelang tahun 2021.

Menterinya, Datuk Seri Peter Chin Fah Kui berkata semalam, dengan kelulusan itu juga pihaknya akan mula mengenalpasti tempat yang sesuai untuk pembinaan loji nuklear berkenaan.

Yang pasti kata Peter Chin, loji berkenaan akan dibina di satu kawasan yang mempunyai permintaan keperluan tenaga yang tinggi.

“Untuk membina sebuah loji berkuasa nuklear memerlukan tempoh selama sepuluh tahun kerana kita perlu melihat kepada aspek-aspek keselamatan, sumber manusia dan juga lokasi yang sesuai dan selamat,” ujarnya.

Bagaimanapun kata Peter Chin, Agensi Tenaga Atom Antarabangsa akan mempunyai kuasa atau kata akhir sama ada Malaysia dibenarkan membina sebuah loji tenaga nuklear.

Kepada satu soalan, beliau berkata, kepakaran teknologi dan juga sumber manusia mungkin akan diambil dari negara-negara yang telahpun ada pengalaman mengendalikan loji nuklear seperti Korea Selatan, China, Perancis atau Jepun.

Mengenai cara-cara untuk memastikan bagaimanakah bahan buangan radioaktif nuklear dari loji berkenaan akan dikendalikan, Peter Chin berkata, perkara tersebut akan ditentukan bersama rakan penyalur teknologi. Beliau menjelaskan Malaysia tidak mempunyai pilihan melainkan terpaksa beralih daripada sumber tenaga fosil kepada tenaga nuklear pada masa hadapan pergantungan kepada tenaga fosil akan lupus untuk jangka masa panjang dan oleh yang demikian menuntut kos pengendalian yang tinggi.

Malah beliau berkata, walaupun kos untuk membina sebuah loji tenaga nuklear tidaklah murah tetapi untuk jangka masa panjang ia adalah cadangan yang praktikal lebih-lebih lagi pergantungan yang terlalu tinggi kepada tenaga fosil seperti arang batu dan minyak akan kehabisan suatu ketika nanti.

Katanya, Kerajaan akan mengambil kira sensitiviti pembinaan sebuah loji nuklear tetapi menegaskan jika rakyat diberikan penerangan yang betul dan jelas, tidak ada sebab mengapa ia tidak boleh dibina di negara ini.

Tambah beliau, tidak ada negara dalam dunia ini yang boleh maju ke hadapan dan menghasilkan pengeluaran yang tinggi tanpa sumber tenaga yang mencukupi dan efesien dan Malaysia memerlukan sumber tenaga yang tinggi untuk menjadi sebuah negara berpendapatan tinggi.

Artikel Lain