suria

Mahkamah Tolak Permohonan Anwar Ketepi Pembelaan Chandra

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini hari ini menolak permohonan Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi mengetepikan pembelaan ahli akademik dan Presiden Just World Movement, Dr Chandra Muzaffar dalam kes saman fitnah RM10 juta yang dikemukakan ketua pembangkang itu.

Pesuruhjaya Kehakiman Datin Zabariah Mohd Yusof menolak permohonan itu dengan kos selepas mendengar hujah kedua-dua pihak di dalam kamar beliau.

Peguam Jahaberdeen Mohamed Yunoss yang mewakili Dr Chandra memberitahu pemberita bahawa Zabariah berpendapat kes itu perlu dibicarakan sepenuhnya demi kepentingan awam.

Beliau menetapkan 12 Mei sebagai tarikh pengurusan kes.

Anwar diwakili peguam Wan Anuwar Shaddat.

Pada 16 Mac, Anwar memfailkan permohonan itu dengan alasan Dr Chandra telah memfailkan butiran tambahan dalam kenyataan bela dirinya melepasi tempoh yang ditetapkan.

Pada 6 Mac 2008, Anwar memfailkan saman terhadap Dr Chandra kerana mendakwa ahli akademik itu mengeluarkan kata-kata berunsur fitnah terhadapnya pada satu forum di Menara Star di Petaling Jaya pada 3 Mac 2008, yang kemudiannya disiarkan oleh akhbar.

Dalam kenyataan bela dirinya, Dr Chandra Muzaffar menafikan memberi komen yang berniat jahat, palsu atau berbaur fitnah tentang Anwar, yang didakwa ketua pembangkang itu telah tersiar dalam dua akhbar berbahasa Inggeris pada 5 Mac 2008.

Dr Chandra juga mendakwa bahawa walaupun kata-kata yang beliau ucapkan itu berbaur fitnah (tetapi beliau menafikan perkara itu), ia disiarkan dengan perlindungan bersyarat, tanpa berniat jahat. - BERNAMA

Artikel Lain