suria

LPKP Sabah Tawar Lesen Bas Mini Pada Pengusaha 'Teksi Sapu'

KOTA KINABALU: Penawaran permit pengangkutan awam oleh Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) Sabah kepada pengusaha 'teksi sapu' hanya tertumpu di kawasan luar bandar atau pekan kecil sahaja di mana aktiviti itu didapati berleluasa.

Bagaimanapun, program penawaran permit itu tidak tertakluk untuk kawasan bandar besar seperti Kota Kinabalu, Sandakan dan Tawau, kata Pengerusi LPKP Sabah, Ir Datuk Edmund Chong Ket Wah.

Katanya, LPKP hanya akan menawarkan lesen pengangkutan bas mini kepada pengusaha 'teksi sapu' dan operasi laluan dihadkan dari pekan ke kampung di kawasan sekitar sahaja.

"Hasil aduan yang diterima, kebanyakan laluan daripada pekan ke kawasan kampung tidak mempunyai perkhidmatan pengangkutan yang mencukupi," katanya pada sidang akhbar di pejabat LPKP di sini hari ini.

Chong memperjelaskan kenyataan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong, Jumaat lepas, bahawa LPKP Sabah akan menawarkan permit perkhidmatan pengangkutan awam kepada pengusaha 'teksi sapu' di kawasan luar bandar di negeri itu.

Katanya, kelonggaran itu dibuka kepada pengusaha 'teksi sapu' sepenuh masa yang beroperasi dengan menggunakan kereta dan van bagi membolehkan mereka menjalankan perkhidmatan secara sah mulai Isnin lalu.

Chong berkata, operasi pemutihan akan dilaksanakan bulan ini bagi memastikan pengusaha menjalankan perkhidmatan secara sah serta merampas 'teksi sapu' yang beroperasi di bandar.

Program operasi pemutihan itu akan melibatkan pelbagai agensi seperti Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), polis, pihak berkuasa tempatan, majlis daerah dan Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR).

Ketika ini, terdapat kira-kira 2,500 kereta sapu yang menjalankan aktiviti di negeri itu dengan Lahad Datu mencatatkan jumlah terbanyak iaitu antara 500 dan 700 kenderaan. - BERNAMA

Artikel Lain