suria

Kes Aminulrasyid: Tiada Inkuri Awam Akan Dijalankan – Suhakam

PETALING JAYA: Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) hari ini menegaskan badan bebas itu tidak akan menjalankan inkuiri awam bagi menyiasat kes remaja mati ditembak Aminulrasyid Hamzah ekoran penubuhan panel khas oleh Kementerian Dalam Negeri baru-baru ini.

Menurut Setiausaha Suhakam, Hashimah Nik Jaafar, suruhanjaya itu akan hanya bertindak sebagai badan pemerhati bagi memastikan perjalanan siasatan yang dijalankan secara telus dan adil.

"Kita lihat tidak ada keperluan untuk menjalankan inkuiri awam pada ketika ini. Sebagai sebuah badan yang bebas kami tidak mempunyai kuasa untuk campur tangan secara langsung dalam siasatan yang dijalankan oleh panel khas itu.

"Namun kami akan tetap mengikuti secara dekat perjalanan kes siastan tersebut. Kami hanya boleh campur tangan sekiranya ada permintaan daripada panel khas yang ditubuhkan. Setakat ini kita tidak nampak keperluan untuk berbuat demikian,” katanya kepada mStar Online hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas permintaan bapa saudara Aminulrasyid, Kamarudin Hassan yang mahu kerajaan menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja atau inkues dijalankan bagi menyiasat mengenai insiden malang yang menimpa Aminulrasyid.

Pada 26 April lalu kira-kira pukul 2 pagi, Aminulrasyid yang merupakan pelajar tingkatan tiga Sekolah Menengah Kebangsaan Seksyen 9, di sini, mati selepas terkena tembakan anggota polis peronda di Jalan Makyong 11/2G, Seksyen 11, di sini.

Ekoran itu, satu panel khas yang dipengerusikan Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Wira Abu Seman Yusop ditubuhkan bagi menyiasat punca sebenar kematian remaja itu.

Panel itu dianggotai bekas Ketua Polis Negara, Tun Mohammed Haniff Omar, tiga anggota Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam), pensyarah dan penganalisis jenayah.

Tiga anggota Suhakam itu ialah Ketua Pegawai Eksekutif Institut Strategi dan Kepimpinan Asia (Asli) Datuk Dr Michael Yeoh, Datuk Seri Muhammad Shafee (peguam) dan Datuk Dr Denison Jayasooria (aktivis).

Lain-lain anggota panel ialah pensyarah Universiti Teknologi Mara, Profesor Madya Datuk Abd Halim Sidek dan penganalisis jenayah Kamal Affandi.

Isu kematian Aminulrasyid menjadi panas ekoran pelbagai pihak seperti Majlis Peguam, Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA) dan polis dilaporkan mahu inkues dijalankan berhubung kes berkenaan.

Artikel Lain