suria

Kerugian Sebenar Pos Malaysia RM227 Juta - Awang Adek

KUALA LUMPUR: Pos Malaysia Berhad mengalami kerugian bagi tempoh tiga tahun lepas berjumlah RM227 juta dan bukan RM546 juta seperti yang dilaporkan akhbar kelmarin.

Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Dr Awang Adek Hussin berkata, kerugian itu berikutan pelaburan dalam syarikat penyedia perkhidmatan kargo udara, Transmile Group Berhad (Transmile).

Beliau menafikan kerugian RM546 juta kerana maklumat terakhir bagi kerugian sebenar yang diperoleh daripada pihak Khazanah Nasional Bhd dan Pos Malaysia adalah RM227 juta.

Kerugian RM546 juta yang dilaporkan media semalam adalah dakwaan Presiden Pertubuhan Bekas Wakil Rakyat UMNO (Pakku), Tan Sri Adam Kadir dalam satu kenyataan akhbar semalam iaitu nilai keseluruhan bagi penjualan 40 juta pegangan saham dalam Transmile.

Adam menggesa Khazanah menjelaskan mengenai kerugian yang ditanggung oleh Pos Malaysia itu.

Bagaimanapun Awang Adek tidak menjelaskan bagaimana Pakku memperolehi angka RM546 juta itu. Sebaliknya beliau menjelaskan, Pos Malaysia mengalami kerugian sebanyak RM33 juta pada 2007 setelah mengambil kira peruntukan yang dibuat manakala pada 2008, kerugian yang dicatatkan berjumlah RM35.8 juta.

"Tetapi pada 2009, Pos Malaysia kembali untung sebanyak RM75.4 juta, bermakna setelah mengambil kira peruntukan 2007 dan 2008, Pos Malaysia kembali untung.

"Dan dijangka untung pada tahun 2010 semakin tinggi kerana penyusunan semula yang telah dibuat sebagaimana tarif setem sudah pun dinaikkan daripada 30 sen kepada 60 sen dan ini akan memberikan hasil kepada Pos Malaysia," katanya.

Sementara itu, beliau berkata, bekas ketua pegawai eksekutif (CEO) dan bekas ketua pegawai kewangan (CFO) Transmile telah dirujuk ke mahkamah.

"Masalah Transmile ini membabitkan pemalsuan akaun sejumlah RM622 juta yang tidak ada tetapi sengaja diada-adakan.

"Tindakan mahkamah sedang diambil ke atas CEO dan CFO," kata Awang Adek.

Artikel Lain