suria

Kastam Kedah Rampas Rokok Bernilai Hampir RM4 Juta

ALOR SETAR: Kastam Diraja Malaysia (KDRM) Kedah merampas 38,938 karton rokok kretek dan putih bernilai hampir RM4 juta termasuk cukai, dalam serbuan di beberapa lokasi di Pulau Pinang dan Kedah semalam.

Pengarah KDRM negeri, Saadon Mohd Dros berkata, serbuan pertama dilakukan oleh sekumpulan anggota KDRM bahagian Langkawi, di sebuah premis tidak berpenghuni di Nibong Tebal, Pulau Pinang pada pukul 2 petang semalam yang membawa kepada penemuan 37,050 karton rokok putih jenama Harry dan Soon disyaki belum lulus kastam.

"Nilai barangan ialah RM370,500 manakala cukai yang cuba dielak RM3.4 juta, setakat ini tiada tangkapan dibuat dan pegawai penyiasat kastam sedang berusaha mengesan pemilik rumah itu," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata, kes sedang disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 kerana menyimpan barang-barang berduti dan barang-barang belum lulus kastam.

Katanya, rampasan kedua pula dilakukan pada pukul 12.35 tengah hari semalam oleh sepasukan anggota KDRM Bahagian Penguatkuasaan Alor Setar, dalam satu sekatan jalan raya di kilometer 58.9 Lebuhraya Utara Selatan, menuju Utara dekat Pendang.

Saadon berkata pihaknya menemui 340 karton rokok keretek jenis Gudang Garam Surya dan 50 karton rokok putih jenis Luffman selepas memeriksa sebuah kereta jenis Proton Iswara yang ditahan dalam sekatan jalan raya itu.

"Rokok jenis Gudang Garam Surya itu bernilai RM5,712, dengan nilai cukai kira-kira RM18,192, manakala Luffman bernilai RM1,100 dengan nilai cukai RM4,381," katanya.

Katanya, seorang lelaki tempatan berusia 30-an yang memandu kenderaan itu dibawa ke pejabat KDRM Alor Setar untuk disoal siasat, dan beliau kemudiannya dibebaskan dengan jaminan bon.

Sementara itu, dalam kes ketiga seorang pemandu lori berusia 30-an ditahan selepas pihak kastam menemui 1,498 rokok putih Bingo disembunyikan di sebalik dinding dan lantai khas yang diubah suai menggunakan papan lapis dalam lori yang dipandunya.

Katanya, rokok bernilai RM19,773 dengan nilai cukai RM134,274 itu dipercayai dibawa dari Pulau Pinang menggunakan lori yang diikrar menggunakan Borang Kastam 3.

"Lelaki itu ditahan pada pukul 11 pagi semalam di jalan Kuala Kedah dekat sini dan kemudiannya dilepaskan dengan jaminan bon selepas disoal siasat.

"Kes kedua dan ketiga disiasat mengikut seksyen 135(1)(e) Akta Kastam 1967 kerana dengan disedari mengangkut barang-barang berduti, barang-barang belum lulus kastam atau larangan dengan niat memfraud kerajaan terhadap apa-apa duti ke atasnya, atau mengelak daripada mana-mana peruntukan akta ini," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain