suria

Pemuda Pakatan Serah Memorandum Desak Suhakam Campur Tangan kes Aminulrasyid

KUALA LUMPUR: Pemuda Pakatan Rakyat (Pemuda Pakatan) menghantar memorandum kepada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) supaya menyiasat kes seorang remaja Aminulrasyid Amzah yang ditembak mati oleh polis pada Isnin lepas.

Memorandum itu merupakan persefahaman antara Angkatan Muda Keadilan (AMK), Dewan Pemuda PAS Pusat (DPPP) dan juga Pemuda Sosialis DAP (DAPSY), di bawah naungan Pemuda Pakatan.

Ketua AMK, Shamsul Iskandar Md. Akin berkata, terdapat percanggahan fakta hasil beberapa laporan media sebelum ini.

Menurutnya, kes itu memberikan impak negatif kepada Polis DiRaja Malaysia (PDRM).

“Suhakam perlu meneliti kes ini secara menyeluruh, apakah tembakan boleh dilepaskan oleh pihak polis berikutan beberapa perakuan saksi utama menunjukkan tiada sebarang tindak balas diambil oleh mangsa melainkan cuma melarikan diri kerana panik.

Mengenai tindakan Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk menubuhkan panel khas siasatan, beliau menyifatkannya tidak memadai berikutan wujud ‘kepentingan’ kerana PDRM merupakan sebuah agensi di bawah KDN.

Menurutnya, panel tersebut tidak mempunyai sebarang kuasa, hanya bertindak sebagai pemantau dan melaporkan kepada KDN, bukannya kepada rakyat secara terbuka.

“Suhakam sebagai badan bebas harus menyiasat kes ini sebagai pihak ketiga kerana mereka tidak mempunyai sebarang kepentingan dalam isu itu bagi memastikan siasatan dijalankan secara telus,” kata Shamsul.

Ketua DPPP, Nasruddin Hassan At-Tantawi berkata, tragedi malang itu tidak akan berlaku sekiranya PDRM menjalankan tanggungjawab secara profesional dan berhati-hati.

Menurutnya, apapun kesalahan itu, ia adalah kelemahan manusia. Apa yang penting adalah jangan menyembunyikan kesalahan itu, apatah lagi mempertahankannya.

“Jika mereka mengaku kesilapan dan mengenakan tindakan, PDRM akan terus kekal dengan kewibawaan sebagai badan yang dipercayai untuk menjaga keselamatan rakyat,” katanya mengulas respon Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan mengenai insiden itu baru-baru ini.

Sementara itu, Setiausaha Suhakam, Hashimah Nik Jaafar pula berkata, Suruhanjaya sentiasa memantau perkara seumpama itu. Pada masa ini, ahli-ahli Suruhanjaya masih belum memulakan tugas mereka.

“Bagaimanapun, kami akan memantau dan setiap maklumat yang diperoleh akan dibawa untuk tindakan selanjutnya dalam waktu terdekat,” katanya.

Dalam kejadian jam 2 pagi itu, Aminulrasyid, 15, meninggal dunia selepas terkena tembakan polis di Seksyen 11, Shah Alam setelah mengejarnya sejauh enam kilometer.

Sebelum itu, dia dikatakan telah memecut laju termasuk memotong lampu merah trafik sebanyak tiga kali dalam usahanya melarikan diri daripada dikejar oleh sekumpulan penunggang motosikal selepas kereta yang dipandunya tergesel sebuah kereta lain.

Artikel Sebelum

Zaid Pertahan Nik Aziz

Artikel Lain