suria

Makmal Urus Warga Asing Di Sabah Dilancar Hari Ini

KOTA KINABALU: Makmal pengurusan warga asing yang bertujuan memperkemas pengurusan, sistem kemasukan, pemantauan dan pengesanan warga asing di Sabah dilancarkan hari ini.

Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman berkata, seramai 30 orang pegawai kerajaan dari pelbagai jabatan dan agensi kerajaan negeri dan persekutuan telah dilantik untuk berkhimat sepenuh masa dalam makmal tersebut.

Mereka akan dibantu oleh tiga orang pegawai, dua dari Unit Pengurusan Prestasi dan Perlaksanaan (Pemandu) Jabatan Perdana Menteri dan seorang dari Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (Mampu).

"Kita harap mereka semua dapat beri input yang baik mengenai penyelesaian berkenaan pendatang tanpa izin (Pati) di Sabah," katanya kepada pemberita.

Musa berkata, makmal berkenaan akan mengumpul data terkini warga asing yang berada di Sabah mengikut kategori sama ada datang secara sah atau pun Pati.

"Kita akan lihat kewarganegaraan, jenis pekerjaan, sektor dan industri. Kita akan menilai semula kos faedah warga asing dalam sektor-sektor sasaran seperti pembinaan, pembuatan, peladangan, perikanan, pelancongan dan perkhidmatan," katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Keselamatan Negeri.

Beliau berkata, operasi bersepadu mengesan Pati fasa tiga turut dilancar hari ini.

Pengarah Pasukan Petugas Khas Persekutuan Sabah, Misri Barham berkata, seramai 312,000 warga asing telah didaftar di Sabah yang 217,000 orang merupakan warga Indonesia dan selebihnya warga Filipina. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Zaid Pertahan Nik Aziz

Artikel Lain