suria

Mahkamah Bebaskan 10 Orang Sertai Perhimpunan Haram

KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen hari ini melepaskan dan membebaskan 10 orang termasuk dua Anggota Parlimen pembangkang dan seorang anggota dewan undangan negeri (Adun) daripada tuduhan menyertai satu perhimpunan haram di Parlimen pada tahun 2007.

Hakim Fathiyah Idris membuat keputusan itu selepas pihak pendakwaan yang diwakili Timbalan Pendakwa Raya Anslem Charles Fernandis gagal membuktikan kes prima facie terhadap mereka.

Dalam penghakimannya, Fathiyah berkata seramai 13 saksi memberi keterangan bahawa ada orang awam berada di susur keluar tetapi tiada keterangan daripada mana-mana saksi yang menunjukkan wujudnya satu perhimpunan.

Mereka ialah Anggota Parlimen Titiwangsa, Dr Lo' Lo' Mohamad Ghazali, 53, Anggota Parlimen Kuala Krai, Dr Mohd Hatta Ramli, 54, Anggota Dewan Undangan Negeri Kota Damansara Dr Mohd Nasir Hashim, 63, Ketua Pemuda PAS, Nasrudin Hassan Tantawi, 40, Ketua Muslimat PAS, Nuridah Mohd, 49; Turut sama dilepaskan dan dibebaskan ialah Ang Hiok Gak, 53, Mohammad Sabri Sapiai, 44, Hashim Awang, 41, Azira Ariffin, 36, dan Mohd Badilah Muda, 35.

Mereka didakwa bersama-sama melakukan kesalahan itu di jalan susur keluar bangunan Parlimen pukul 11 pagi pada 11 Disember, 2007.

Kesemua mereka didakwa mengikut Seksyen 27 (5) Akta Polis 1967 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 27 (8) akta yang sama yang membawa hukuman penjara setahun, denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Zaid Pertahan Nik Aziz

Artikel Lain