suria

KP S'gor Minta MP Shah Alam Kemukakan Saksi Yang Belum Diambil Keterangan

PETALING JAYA: Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar meminta ahli parlimen Shah Alam, Khalid Abdul Samad supaya membawa mana-mana saksi dalam kes kematian Aminulrasyid Amzah yang masih belum disoalsiasat oleh polis ke hadapan sekiranya benar beliau mengetahui masih ada yang belum diambil keterangan.

Ini kerana kata Khalid Abu Bakar, kenyataan ahli parlimen Pas itu sangat tidak bertanggungjawab seandainya beliau membuat dakwaan tanpa disertakan dengan bukti.

"Saya ingin menyatakan di sini sejelas-jelasnya, jika benarlah apa yang dia kata iaitu masih terdapat saksi yang belum diambil keterangannya oleh polis, sila bawa saksi itu ke balai polis dengan segera...jangan sedap cakap tanpa bukti," katanya di sini semalam.

Kata ketua polis itu lagi, Khalid Samad boleh menelefonnya pada bila-bila masa dan adalah menjadi kerja polis untuk mencatatkan kenyataan saksi bukan kerja Pas.

Tambah beliau lagi, setakat yang diketahuinya, semua saksi yang melihat kejadian itu telah direkodkan kenyataan mereka dan Khalid Samad tidak seharusnya berasa sangsi dengan pihak polis.

"Yang saya tahu orang saya telah pun mengumpulkan semua maklumat dan kenyataan daripada saksi-saksi dan kita tidak ada sebarang sebab untuk menyembunyikan apa juga fakta dan maklumat tetapi jika ahli Yang Berhormat dari Shah Alam kata beliau tahu masih ada saksi yang belum direkodkan kenyataan mereka, sila bawa saksi itu kepada saya, tidak ada apa yang perlu ditakutkan," katanya lagi.

Setakat ini 20 orang saksi telah direkodkan kenyataan mereka berhubung insiden itu.

Aminulrasyid Amzah seorang murid tingkatan tiga meninggal dunia selepas dia terkena tembakan polis yang mengejarnya sejauh 6 kilometer pada lewat tengah malam Isnin lalu selepas dia dilihat memandu dengan laju dan secara berbahaya di Seksyen 11 Shah Alam.

Dan Khalid Samad telah mempertikaikan yang polis tidak mengambil keterangan saksi sepenuhnya dalam mengendalikan siasatan tersebut.

Artikel Sebelum

Zaid Pertahan Nik Aziz

Artikel Lain