suria

Kerani Akaun Didakwa Tipu Bil Hospital

KUALA TERENGGANU: Seorang kerani akaun sebuah syarikat penerbangan, hari ini mengaku tidak bersalah atas pertuduhan cuba memperdaya seorang lelaki untuk mendapatkan anak yatim sebagai anak angkat.

Pertuduhan terhadap K.S. Saravanan Krishnan, 33, dilakukan di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), di sini berikutan tertuduh kini sedang menjalani rawatan akibat masalah jantung.

Majistret Nur Azizah Yusof yang tiba ke HSNZ kira-kira pukul 4.40 petang tadi menetapkan 8 Jun depan sebagai tarikh sebutan semula kes dan memberi peluang tertuduh melantik peguam bela.

Tertuduh yang duduk di atas katil di Wad Pemulihan Jantung hospital berkenaan meminta untuk dibicarakan sebaik pertuduhan terhadapnya dibaca oleh jurubahasa mahkamah, Nurmaisarah Mazlan.

Beliau dituduh cuba memperdaya seorang lelaki untuk mendapatkan anak angkat dengan bayaran RM1,000 di Asrama Anak Yatim Darul Falah, Marang di sini pada pukul 12 tengah hari 19 Mac lalu.

Tertuduh yang berasal dari Ampang, Selangor itu didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara minimum setahun dan sebatan dan boleh dikenakan denda.

Pendakwaan dijalankan Inspektor V. Ravi. Nur Azizah turut membenarkan tertuduh diikat jamin RM3,500 dengan seorang penjamin.

Kes mahkamah yang berlangsung kira-kira 10 minit di hospital itu turut menarik perhatian pesakit dan pelawat sekitar wad berkenaan.

Tertuduh dimasukkan ke hospital berkenaan pada 28 April lalu setelah mengadu sakit dada setelah ditahan polis pada hari yang sama di Taiping, Perak. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Zaid Pertahan Nik Aziz

Artikel Lain