suria

Karpal Mahu Siasatan Kes Aminulrasyid Disegerakan

SHAH ALAM: Peguam Karpal Singh, yang mewakili keluarga Aminulrasyid Amzah, 15, remaja yang mati terkena tembakan polis dalam kejadian minggu lepas, meminta polis supaya menyegerakan siasatan kes tersebut.

Katanya pihaknya juga akan menulis surat kepada Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail memohon untuk mendapatkan salinan kertas laporan siasatan itu bagi meneliti kes berkenaan.

"Saya akan memohon kenyataan dan meminta supaya siasatan diselesaikan secepat mungkin," katanya kepada pemberita selepas meluangkan masa kira-kira 40 minit meninjau lokasi kejadian itu di Seksyen 11 di sini hari ini.

Turut kelihatan saksi utama kes itu, seorang remaja lelaki, 15 tahun, merupakan rakan Aminulrasyid yang turut bersama Allahyarham ketika kejadian, menerangkan sesuatu kepada Karpal.

Beberapa anggota keluarga mangsa turut kelihatan memantau dari jauh sepanjang Karpal berada di kawasan kejadian itu.

Dalam kejadian pukul 2 pagi pada 26 April lalu, Aminulrasyid yang merupakan pelajar tingkatan tiga Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seksyen 9, di sini, mati selepas terkena tembakan anggota polis peronda di Jalan Makyong 11/2G, Seksyen 11, di sini. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Zaid Pertahan Nik Aziz

Artikel Lain