suria

Henti Buat Spekulasi Mengenai Pengganti Taib

KUCHING: Timbalan Ketua Menteri, Tan Sri Alfred Jabu mahu spekulasi bahawa beliau kemungkinan besar akan menggantikan Ketua Menteri, Tan Sri Abdul Taib Mahmud dihentikan segera.

"Buat masa ini, isu penggantian dan pengganti Ketua Menteri Sarawak tidak timbul dan tidak sepatutnya dijadikan spekulasi," kata Jabu, yang juga Timbalan Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu, dalam kenyataan di sini.

"Saya secara terbuka dan konsisten menyatakan bahawa saya mempunyai keyakinan penuh dalam kepimpinan Abdul Talib sebagai Ketua Menteri Sarawak dan menyokong penuh penerusan kepimpinan beliau sebagai ketua menteri," katanya sambil menegaskan beliau komited dalam memainkan peranan sebagai satu pasukan dalam PBB dan Barisan Nasional (BN).

Semalam, bekas Ketua Menteri, Tun Abdul Rahman Yakub menamakan Jabu kemungkinan besar akan menggantikan Abdul Taib berdasarkan kedudukan Jabu dalam parti dan beliau diterima baik oleh semua kaum di negeri ini.

Rahman, yang merupakan ketua menteri Sarawak yang ketiga, dipetik sebagai berkata bahawa walaupun beliau melihat Jabu sebagai pengganti paling sesuai, terpulang kepada PBB untuk membuat keputusan akhir mengenai isu pengganti jawatan itu. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Zaid Pertahan Nik Aziz

Artikel Lain